
Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali berkata, komen sisi mengenai kes di mahkamah mungkin “melanggar undang-undang”.
“Secara umum hantaran keterangan, terutama oleh tertuduh boleh dikatakan menghina (mahkamah).
“Pada masa akan datang, mana-mana orang yang mahu membuat komen sedemikian, harus mendapatkan nasihat undang-undang,” katanya.
Pendakwa raya fiat V Sithambaran memberitahu mahkamah hari ini bahawa mereka tidak akan meneruskan permohonan pendengaran pada 13 Ogos bagi memaksa Najib meminta maaf berhubung hantaran di Facebooknya bulan lepas.
Peguam Najib Muhammad Shafee Abdullah memberitahu mahkamah bahawa mereka juga menarik balik permohonan untuk membatalkan permohonan itu.
“Ia berita baik untuk kami,” katanya.
Najib berkata di Facebook bahawa kad kredit digunakan untuk membeli hadiah kepada seorang anggota keluarga diraja, dengan mendakwa pemberian hadiah kepada orang kenamaan asing merupakan satu kebiasaan.
Beliau membuat komen di laman sosial itu berikutan keterangan seorang pegawai Ambank, Yeoh Eng Leong kepada mahkamah bahawa RM3.9 juta daripada wang SRC International digunakan pada 2014 dan 2015 untuk membayar bil kad kredit Najib.
Terdahulu hari ini, pegawai penyiasat kes Rosli Hussain dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu mahkamah bahawa pegawai bawahannya menyerahkan dokumen yang diperolehi berhubung siasatan ke atas SRC International pada 2015.
Beliau berkata, dokumen berkenaan diserahkan kepadanya pada Julai tahun lepas.
Perbicaraan bersambung pada petang Khamis (13 Ogos) depan.
Najib berdepan 6 pertuduhan pengubahan wang dan pecah amanah jenayah dalam pemindahan wang berjumlah RM42 juta daripada SRC INternarional, bekas anak syarikat 1MDB.
Beliau juga dituduh menyalahgunakan kuasa sebagai perdana menteri dengan memberikan jaminan kerajaan ke atas pinjaman SRC International sebanyak RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan.