
“Guru mempunyai autonomi. Mereka tak mengajar mengikut buku teks tetapi silibus. Sekarang khat sebahagian daripada silibus, bagaimana mengajarnya terserah kepada mereka,” kata Setiausaha Agung Harry Tan.
Beliau berkata tidak mengajar khat selepas ia menjadi sebahagian daripada silibus adalah tidak profesional.
Namun, para guru juga harus dibenarkan menentukan apa yang terbaik untuk para pelajar.
“Sekiranya seseorang guru mengajar sekumpulan pelajar yang bergelut dengan pelajaran, dan merasakan perlu tumpukan perhatian pada bidang silibus yang lain, mereka boleh berbuat demikian.
“Semua pihak harus beri ruang kepada guru untuk menilai sendiri dan membuat keputusan.”
Kementerian Pendidikan hari ini mempertahankan keputusan memperkenalkan khat dalam mata pelajaran bahasa Melayu Tahun 4 mulai tahun depan.
Menteri Maszlee Malik berkata pengajaran khat itu itu hanyalah aktiviti dan dimuatkan sebanyak 3 muka surat dalam buku teks.
Terdahulu, langkah memperkenalkan khat mengundang bantahan daripada beberapa pihak, termasuk kumpulan pendidikan Cina dan Tamil, yang berkata ia tidak membantu pelajar sekolah aliran menambahbaik kemahiran bahasa Melayu mereka.