
Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) oleh SRS Consortium yang bernilai RM46 bilion digembar-gemburkan tidak boleh menyelesaikan masalah pengangkutan Pulau Pinang, bahkan merosakkan kedudukan kewangan dan menjahanamkan alam sekitar.
Sistem pengangkutan awam alternatif yang terintegrasi berasaskan Pelan Halcrow yang diubah suai boleh dilaksanakan pada kos kurang daripada RM10 bilion.
Sumber dana boleh didapati daripada pembatalan pakej Consortium Zenith (RM6 bilion), penjualan tanah milik kerajaan negeri di Sungai Nibong (RM1 bilion) dan dana persekutuan (RM2 bilion). Oleh itu, tiada alasan untuk melaksanakan Projek Penambakan Selatan Pulau Pinang (PSR).
Jimat kos RM9 bilion jika LRT diganti ART
Penang Forum secara konsisten menuntut dan menyokong sepenuhnya sistem pengangkutan awam yang baik. Persoalan utama ialah adakah sistem Transit Aliran Ringan (LRT) pilihan yang tepat?
Selepas perjumpaan “town hall” pada September 2018, di mana Penang Forum mencadangkan kerajaan Pulau Pinang meneroka kemungkinan menggantikan LRT dengan Transit Aliran Autonomi (ART), kerajaan menghantar delegasi ke China pada awal 2019 untuk mengkaji sistem ART.
Setakat ini, orang ramai tidak tahu mengenai penemuan delegasi itu. Kami mencadangkan kerajaan sekurang-kurangnya memaklumkan orang ramai mengenai tujuan delegasi itu, apa yang dipelajari dan diterima pakai, apa yang tidak dan mengapa? Apakah kosnya? Kami menunggu laporan mereka.
Sementara itu, kerajaan Sarawak turut menghantar delegasi untuk mengkaji ART dan mengumumkan hasratnya mengguna pakai teknologi baru ini.
Bagaimanapun, ada cendekiawan turut melawat China untuk mengkaji ART. Paling menonjol ialah Prof Peter Newman yang mengkaji sistem kereta api lebih 40 tahun dan dianugerahkan saintis tahunan oleh Australia Barat pada 2018.
Beliau berkata: “Saya pergi ke China untuk memeriksa trem tanpa landasan (yang turut digelar ART). Saya kembali dengan yakin bahawa ianya adalah teknologi transit yang transformatif.”
Penyelidik menganggarkan kos pembinaan ART antara A$6 juta hingga A$8 juta (RM18-24 juta) per kilometer untuk setiap set 3 gerabak dengan sebuah stesen, hanya sebahagian kecil daripada LRT yang menelan belanja sekurang-kurangnya A$50 juta (RM150 juta) setiap kilometer.
LRT Pulau Pinang dianggarkan RM220 juta setiap kilometer, iaitu 10 kali ganda lebih mahal daripada ART.
ART lebih baik, lebih fleksibel dan boleh membawa kapasiti penumpang sama, jika pun tidak lebih ramai.
Sistem asas ART adalah 3 gerabak yang boleh membawa 300 orang. Ia boleh membawa 5 gerabak dan 500 orang, jika diperlukan. Kapasiti penumpang ART dianggarkan 12,000 hingga 30,000 orang sejam, setiap km pada laluan tunggal 50km/jam – lebih baik daripada LRT yang boleh membawa 10,000 hingga 20,000 orang sejam.
ART jauh lebih cepat untuk dipasang kerana tiada landasan diperlukan. Ia beroperasi melalui sistem bimbingan optik berautonomi dengan teknologi Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) dan Light Detection And Ranging (LiDAR) sepanjang laluan yang tidak dapat dilihat.
Trem tanpa landasan mengelakkan ciri-ciri paling teruk untuk LRT – gangguan dan kos. Ia mengambil kira-kira 6 hingga 7 tahun untuk membina LRT Pulau Pinang yang akan menyebabkan gangguan besar kepada Pulau Pinang.
Menurut Newman, garisan ART boleh dicat hanya pada hujung minggu. Ia akan mengambil beberapa bulan untuk membina stesen, tetapi bukannya 6 tahun. Stesen pra-bina juga boleh dipasang.
ART boleh bergerak dengan cepat dan lancar. Newman pernah menaiki ART dan menyaksikan kanak-kanak berlari-lari di lorong dalam trem semasa ianya bergerak pada kelajuan 70km/jam.
Australia sedang mengkaji cara baru untuk membiayai ART, di mana pelabur swasta akan membayar kos penggunaan tanah di sepanjang laluan, persiapan jalan raya, pembinaan gerabak trem dan mengendalikan sistem di koridor berkenaan.
Di Pulau Pinang, kawasan Bayan Lepas-FTZ padat dengan penduduk. Koridor ART akan memberi manfaat kepada sektor swasta.
Dalam hal ini, Pulau Pinang boleh meneroka usaha sama dengan pelabur swasta untuk menentukan stesen dan laluan, membina dan mengendalikan sistem ART.
Ini membolehkan penggunaan infrastruktur yang lebih cekap, sumber dana baru, kurang kebergantungan kepada kereta dan peningkatan dalam pertumbuhan ekonomi serta produktiviti.
Jadual 2.1 membandingkan kelebihan dan kelemahan ART, LRT serta Bas Rapid Transit (BRT).

Pulau Pinang mempunyai industri pembinaan bas yang kecil, tetapi kuat. Memandangkan teknologi ART adalah gabungan trem dan bas, Pulau Pinang harus meneroka kemungkinan pemindahan teknologi dari China.
Mengambil kira semua perkara di atas, kerajaan Pulau Pinang mesti memberi justifikasi mengapa ia memilih LRT (kos terbaru RM9.6 bilion) berbanding teknologi lebih baik, murah dan cepat.
Ia tidak boleh lagi bersembunyi di sebalik alasan LRT dibina di atas jalan dan tidak mengambil ruang jalan.
Kesimpulannya, ART lebih baik, lebih murah dan lebih cepat dengan penjimatan kos sebanyak RM9 bilion.
Lim Mah Hui adalah bekas profesor, pengurus bank antarabangsa dan ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang selama 6 tahun.
Prof Madya Ahmad Hilmy adalah jurutera pengangkutan yang mengajar di Universiti Sains Malaysia.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.