Francis Light pun tulis surat guna tulisan jawi

Francis Light pun tulis surat guna tulisan jawi

Ini menunjukkan tulisan jawi pernah menjadi antara tulisan universal di seluruh dunia dan betapa tingginya nilai tulisan jawi di mata dunia.

Baru-baru ini, isu tulisan jawi hangat diperkatakan selepas Kementerian Pendidikan Malaysia mengisytiharkan penggunaan tulisan jawi dalam buku teks di semua sekolah termasuk sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Ini salah satu usaha bagi memastikan tulisan jawi yang sememangnya tulisan Melayu asal akan terus dipelihara agar tidak pupus ditelan zaman.

Menurut Menteri Pendidikan Maszlee Malik, perancangan pengenalan tulisan khat ini dilaksanakan melalui semakan semula Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) sejak 2014.

Tambah Maszlee, pengenalan tulisan khat ini adalah untuk Tahap 2 sahaja iaitu Tahun 4 pada 2020, Tahun 5 (2021) dan Tahun 6 (2021).

Bagaimanapun, murid Tahap 1 (Tahun 1 hingga 3) tidak terlibat dengan pengenalan tulisan khat.

Maszlee berkata ia bukan paksaan sebaliknya satu usaha untuk meningkatkan kefahaman murid mengenai seni, warisan dan sejarah bahasa Melayu.

Jelas di sini menunjukkan tulisan Jawi diperkenalkan untuk memartabat kembali semula tulisan Melayu lama yang sememangnya telah lama diguna secara meluas semenjak zaman Kesultanan Melayu.

Buktinya, Kesultanan Johor-Riau membuat urusan rasmi dengan pihak Belanda dengan menggunakan tulisan jawi.

Begitu juga, Francis Light yang dianggap pembuka kota Pulau Pinang pernah menulis surat dalam tulisan jawi untuk membuat urusan rasmi dengan Sultan Kedah pada ketika itu.

Ini menunjukkan tulisan jawi pernah menjadi antara tulisan universal di seluruh dunia dan juga menunjukkan betapa tingginya nilai tulisan jawi di mata dunia.

Dakwaan tulisan jawi merupakan proses Arabisasi dan Islamisasi pihak kerajaan merupakan dakwaan yang kurang berasas kerana tulisan jawi sudah lama diamalkan dalam kalangan masyarakat Melayu semenjak zaman Kesultanan Melayu lagi.

Selepas negara yang tercinta mencapai kemerdekaan pada 1957, penggunaan tulisan jawi sudah mulai kurang memainkan peranan.

Sehinggalah pada 1966, Menteri Pendidikan ketika itu Mohamed Khir Johari dari Umno membuat satu reformasi dengan menghapuskan penggunaan tulisan jawi dengan menggantikan tulisan rumi sebagai tulisan rasmi bahasa Melayu.

Kesannya, anak-anak muda Melayu ramai menjadi buta huruf dalam tulisan jawi sehingga hilangnya jati diri dalam kalangan anak muda Melayu.

Baru-baru ini, MCA membuat bantahan mengenai tulisan jawi diperkenalkan dalam silibus Bahasa Melayu menimbulkan sedikit kontroversi dalam kalangan bukan Melayu.

Kaum bukan Melayu terutama Cina berpendapat pengenalan tulisan jawi akan mengancam kebudayaan dan pegangan agama mereka.

Namun begitu, perkara ini dinafikan Maszlee yang berpendapat ia dilaksanakan sebagai pengisian tambahan dalam aspek seni bahasa dan untuk memperkaya murid dengan pengetahuan mengenai seni, warisan dan sejarah bahasa Melayu.

Penasihat DAP Lim Kit Siang berpendapat belajar tulisan jawi tidak mengurangkan sifat kecinaan dalam dirinya malah membantu beliau untuk mempunyai jati diri sebagai rakyat Malaysia.

Ini sekali gus mematikan dakwaan tulisan jawi merupakan agenda kerajaan untuk menghapuskan budaya dan pegangan agama lain.

Rakyat seharusnya berhati-hati dengan agenda dan dakyah pihak tertentu yang mahu menggugat keharmonian dan perpaduan dalam kalangan kaum di Malaysia.

Belajar seni tulisan jawi bukan sahaja menyegarkan kembali tulisan Melayu lama, malah tidak rugi untuk dipelajari kerana ketinggian ilmu menjadikan seseorang itu dihormati.

Haziq Azhar merupakan wartawan Suara Sarawak.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.