Saya dilayan seperti budak pejabat, kata bekas menteri kewangan kedua

Saya dilayan seperti budak pejabat, kata bekas menteri kewangan kedua

Ahmad Husni Hanadzlah tidak diberitahu mengenai penubuhan SRC International pada 2011 dan beliau hanya mengenai bekas anak syarikat 1MDB itu pada 2013.

Ahmad Husni Hanadzlah (kanan) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
KUALA LUMPUR:
Perbicaraan rasuah dan pecah amanah Najib Razak hari ini diberitahu bekas perdana menteri itu menunjukkan kepimpinan autokratik secara terang-terangan dalam pengurusan 1MDB dan SRC International Sdn Bhd.

Bekas menteri kewangan kedua, Ahmad Husni Hanadzlah berkata beliau tidak diberitahu mengenai penubuhan bekas anak syarikat 1MDB itu pada 2011.

Husni yang menganggotai Kabinet Najib dari 2009 hingga 2016, berkata beliau hanya tahu mengenai SRC International secara terperinci pada 2013.

“Saya mula menyedari saya bukan sesiapa. Saya dilayan seperti budak pejabat,” katanya ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Izzat Fauzan.

Saksi pendakwaan ke-56 itu berkata, beliau hanya menandatangani surat jaminan kerajaan untuk Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) bagi mendapatkan pinjaman RM2 bilion pada 2011, manakala jaminan kedua untuk satu lagi pinjaman sebanyak RM2 bilion dilakukan Najib.

“Saya percaya keputusan ini dibuat Najib,” katanya sambil menambah sebagai menteri kewangan kedua, beliau bertanggungjawab ke atas semua syarikat di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD), tetapi bukannya SRC International dan 1MDB.

“Najib menunjukkan kepimpinan autokratik dalam pengurusan SRC dan 1MDB.”

Beliau berkata, gabenor Bank Negara dan wakil syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sering menemuinya secara tetap, tetapi bukannya SRC International.

“Ketua Pegawai Eksekutif SRC, Nik Faisal Ariff Kamil pernah datang jumpa saya sekali, tetapi tanpa sebarang dokumen untuk perbincangan,” katanya sambil menambah beliau sudah menyerahkan sepucuk surat terperinci kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Husni berkata, beliau pernah menemui Najib untuk bertanya mengenai SRC yang diberikan jaminan kerajaan ke atas pinjaman sebanyak RM4 bilion dari KWAP.

Beliau berkata, Najib memberitahunya dana itu bertujuan mengukuhkan industri penjanaan kuasa menggunakan arang batu oleh sebuah GLC, iaitu SRC International.

Tetapi, beliau memberitahu Najib lebih baik ia membabitkan sektor swasta, bukannya kerajaan.

Katanya, beliau kemudian mendapat tahu RM4 bilion itu digunakan untuk pelaburan arang batu di Jawa, pelaburan sumber asli di Mongolia dan disimpan dalam sebuah akaun bank Switzerland.

Husni berkata, beliau meminta Setiausaha Bahagian Pelaburan Kementerian Kewangan, Mohd Isa Hussain membuat lawatan ke Jawa untuk memastikan kewujudan pelaburan itu, tetapi permintaan itu ditolak.

Katanya, beliau dimaklumkan wang dalam akaun Switzerland itu dibekukan kerajaan negara itu kerana syarikat berkenaan disyaki terbabit dalam pengubahan wang.

“Saya minta izin Najib untuk membawa delegasi ke bank itu untuk menunjukkan SRC tidak melanggar sebarang undang-undang, tetapi beliau tak setuju.”

Beliau berkata, pegawainya melaporkan hal mengenai semua syarikat di bawah MKD kepadanya, kecuali 1MDB dan SRC International.

“Penubuhan Pihak Berkuasa Pelaburan Terengganu (TIA) pada 2009, 1MDB dan SRC tidak dirujuk kepada saya oleh pegawai saya,” katanya sambil menambah beliau rapat dengan Najib kerana beliau diambil sebagai anak angkat oleh bapa Najib yang juga bekas perdana menteri, Abdul Razak Hussein.

Katanya, beliau pernah tanya Najib mengenai penubuhan 1MDB tanpa kajian kebolehlaksanaan.

“Tetapi, beliau beritahu saya yang beliau tahu apa dilakukannya.”

Katanya, beliau sekali lagi menemui Najib untuk menyuarakan kebimbangannya selepas mendapat tahu rancangan 1MDB mahu melabur dalam PetroSaudi International Ltd.

“Tetapi, Najib meminta saya tidak masuk campur mulai hari itu.”

Husni berkata, beliau menghantar sepucuk surat kepada Najib pada 2010 untuk memberi amaran mengenai kesannya, termasuk 1MDB mungkin mengalami kerugian kerana PetroSaudi ialah syarikat baru yang tiada pengalaman dalam industri minyak dan gas.

Katanya, beliau menasihatkan Najib supaya menyerahkan perkara itu kepada Petronas yang arif dalam sektor minyak dan gas.

“Saya bimbang untuk beliau dan kerajaan.”

Beliau berkata, Najib enggan menyerahkan dokumen berkaitan apabila ketua audit negara mahu menjalankan pengauditan forensik, tetapi beliau tidak menyatakan syarikat mana.

Katanya, beliau mahu melantik Isa sebagai pengarah SRC International pada 2015 selepas syarikat itu menjadi entiti MKD.

“GLC akan diwakili seorang pegawai kerajaan, tetapi bukannya dalam kes 1MDB dan SRC.

“Bagaimanapun, Najib tidak bersetuju kerana Isa kasar.”

Ketika ditanya Izzat sama ada beliau mengenali Najib, Husni berkata: “Sekiranya beliau ada di dalam mahkamah, saya boleh camkan.”

Beliau kemudiannya menoleh ke belakang ke arah Najib yang duduk dalam kandang tertuduh dan berkata: “Ha, itu dia di belakang, yang selalu senyum.”

Peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah memohon untuk memeriksa balas Husni pada Khamis ini kerana beliau memerlukan arahan anak guamnya, susulan sejumlah “bukti dramatik” muncul di mahkamah dan saksi dalam keadaan marah.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan permohonan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.