KM: Tiada perlombongan arang batu di Maliau Basin

KM: Tiada perlombongan arang batu di Maliau Basin

Shafie Apdal berkata Sabah tidak akan menggunakan arang batu sebagai sumber tenaga alternatif.

Maliau Basin di Tongod, Sabah.
KOTA KINABALU:
Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal memberi jaminan kerajaan negeri tidak akan meluluskan sebarang aktiviti perlombongan di Maliau Basin yang kaya dengan arang batu.

Menjawab soalan tambahan Joniston Bangkuai (PBS-Kiulu) di persidangan DUN hari ini, Shafie berkata Sabah tidak akan menggunakan arang batu sebagai sumber tenaga alternatif.

“Sudah ada industri arang batu di Singapura, dan berapa banyak loji terdapat di semenanjung?

“Jika kita mahu arang batu sebagai alternatif, kita boleh mengimportnya dari Kalimantan, yang lebih murah. Tetapi bukan itu yang kita mahu buat,” katanya.

Adun Senallang itu menambah kerajaan telahpun merancang langkah untuk memastikan bekalan elektrik yang konsisten.

Joniston meminta jaminan daripada kerajaan negeri bahawa tidak ada aktiviti perlombongan dibenarkan di Maliau Basin dengan memberikan kenyataan terdahulu bahawa perlombongan boleh dipertimbangkan di sana.

Shafie berkata beliau berbincang dengan Petronas mengenai kemungkinan menggunakan gas, dan kerajaan negeri juga mengkaji penggunaan penjanaan kuasa dari empangan hidroelektrik Ulu Padas.

“Pelabur mengadu tentang ini – elektrik tidak mencukupi, kosnya tinggi tetapi bekalan tidak konsisten. Juga (mereka mengadu) air tidak mencukupi dan akses jalan yang teruk.”

Beliau berkata Sarawak mampu menghasilkan tenaga elektrik yang lebih murah daripada empangan Bakun.

“Jadi kita tidak akan meluluskan perlombongan arang batu – di bawah kepimpinan saya dan kerajaan yang dipimpin Warisan,” kata ahli Parlimen Semporna itu.

Beliau juga berkata kerajaan akan mengkaji semula royalti 5% daripada syarikat tunggal yang dibenarkan melombong emas di Bukit Mantri di Tawau.

Beliau berkata setakat ini syarikat itu menghasilkan lebih 378kg emas bernilai lebih RM65 juta di pasaran. Sehingga kini, ia hanya menyelesaikan kira-kira RM1.3 juta daripada RM3.2 juta bayaran royalti.

“Ini adalah sumber kami dari Sabah tetapi hanya 5% dikenakan. Sebagai contoh, di Kelantan, mereka mengenakan royalti 10%. Mengapa kerajaan sebelum ini tidak mempertimbangkan ini?

“Sebab itulah kami perlu melakukan kajian semula tetapi kami tahu terdapat perjanjian, jadi saya tidak boleh kata kami akan membatalkan perjanjian itu,” kata Shafie sambil menambah Sabah mesti mendapat manfaat daripada operasi tersebut.

Beliau menambah kerajaan hanya akan memberikan lesen perlombongan kepada syarikat berkaitan kerajaan walaupun mereka boleh mengadakan usaha sama dengan syarikat swasta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.