26 jemaah Malaysia terkandas di Jeddah disyaki akibat visa, kata Fuziah

26 jemaah Malaysia terkandas di Jeddah disyaki akibat visa, kata Fuziah

Timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, kumpulan terbabit menggunakan penerbangan komersial tidak dibenarkan memasuki Arab Saudi dipercayai akibat masalah teknikal pada visa haji furada mereka.

Fuziah Salleh berkata, kumpulan 26 rakyat Malaysia yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz akan diterbangkan ke Malaysia malam ini, selepas semua proses diperlukan Riyadh selesai. (Gambar Facebook)
MAKKAH:
Seramai 26 rakyat Malaysia terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz di Jeddah, dekat sini, sejak 7 pagi semalam kerana kerajaan Arab Saudi tidak membenarkan mereka masuk ke negara itu untuk menunaikan haji.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata kumpulan itu tiba menggunakan penerbangan komersial dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan kemasukan mereka tidak dibenarkan dipercayai akibat masalah teknikal pada visa haji furada yang mereka peroleh.

“Petugas haji kita sedang menjaga kebajikan mereka, jaga makan minum, pastikan mereka dalam keadaan selesa dan sebagainya. Apa boleh kita buat adalah melihat kepada kebajikan mereka.

“Saya ingin memaklumkan kepada keluarga mereka di Malaysia, (Lembaga) Tabung Haji menjaga kebajikan mereka walaupun mereka pergi bukan di bawah Tabung Haji.

“Mereka guna penerbangan komersial, jika mereka lalu Makkah Route, imigresen sudah kesan awal visa mereka ada masalah,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, ketika itu perjalanan kumpulan itu dipercayai diuruskan sebuah syarikat, bagaimanapun Putrajaya menyerahkan sepenuhnya siasatan serta tindakan lanjut kepada Riyadh.

Katanya, kumpulan itu akan diterbangkan ke Malaysia malam ini, selepas semua proses diperlukan Riyadh diselesaikan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.