MIDF: Dana asing jual RM601.2 juta ekuiti tempatan minggu lepas

MIDF: Dana asing jual RM601.2 juta ekuiti tempatan minggu lepas

Pada masa sama, ringgit susut 0.9% berbanding dolar AS, selepas ditutup pada AS$1/RM4.158.

Setakat ini, aliran keluar bersih asing dari Malaysia sebanyak RM5.01 bilion.
KUALA LUMPUR:
Dana asing menjual RM601.2 juta bersih ekuiti tempatan minggu lepas, aliran keluar bersih dana asing mingguan yang terbesar dalam tempoh 11 minggu, menurut MIDF Research hari ini.

Dalam laporan aliran dananya, ia berkata, kadar jualan bersih asing di Bursa Malaysia pada minggu lepas meningkat dengan ketara dan FBM KLCI utama merosot 1.3% pada minggu itu selepas ditutup pada 1,626.76 mata pada Jumaat, menjadikan minggu ke-4 mencatatkan penurunan.

Pada masa sama, ringgit susut 0.9% berbanding dolar AS, selepas ditutup pada AS$1/RM4.158.

“Tenaga Nasional Bhd mencatatkan aliran masuk wang bersih tertinggi sebanyak RM12.59 juta pada minggu lepas.

“Harga sahamnya naik 1.76% pada minggu itu, mengatasi bursa tempatan yang mencatatkan penurunan mingguan -1.29%,” menurut MIDF Research.

Sementara itu, United Plantations Bhd menyaksikan aliran keluar wang bersih terbesar sebanyak –RM6.76 juta minggu lepas dengan harga sahamnya susut -0.23% pada minggu itu, mengatasi FBM KLCI yang merosot -1.29% dalam tempoh tersebut.

MIDF Research berkata, Julai mencatatkan aliran keluar bersih asing sebanyak RM79.2 juta, menjadikan bulan aliran keluar bersih asing ke-5 pada tahun ini.

Setakat ini, aliran keluar bersih asing dari Malaysia sebanyak RM5.01 bilion.

Sebaliknya, 6 pasaran Asia lain yang dipantau MIDF Research, iaitu Korea Selatan, Thailand, Indonesia, India, Taiwan dan Filipina menyaksikan aliran masuk bersih asing setakat ini pada tahun ini, dengan India yang terbesar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.