
KAHERAH: Sekurang-kurangnya 19 orang terkorban manakala 32 lagi cedera dalam satu insiden kereta meletup di pusat bandar Kaherah, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan Kementerian Kesihatan Mesir pada Isnin.
Insiden itu berlaku apabila sebuah kereta yang dipandu menentang arus bertembung 3 kereta lain berhampiran Institut Kanser Negara (NCI) di pusat bandar Kaherah sejurus sebelum tengah malam, menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri.
Kementerian Kesihatan berkata beberapa mangsa cedera parah dalam insiden itu.
Bagaimanapun, kementerian itu tidak menyatakan sama ada letupan tersebut adalah akibat serangan pengganas.
Terdahulu, laporan media membayangkan letupan itu berlaku di dalam bangunan NCI, namun hospital tersebut kemudian menafikannya.