1 platun PGA dikerah cari remaja Ireland hilang

1 platun PGA dikerah cari remaja Ireland hilang

Seramai 159 anggota terlibat mencari Nora Anne Quoirin yang dilaporkan hilang dari sebuah resort di Seremban semalam.

Kehilangan Nora Anne Quoirin dari bilik penginapannya di sebuah resort disedari keluarganya pada pukul 8 pagi semalam. (Gambar Facebook)
SEREMBAN:
Misi mencari remaja perempuan warga Ireland yang memasuki hari ke-2 hari ini diteruskan dengan tambahan sebanyak 40 anggota daripada platun Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras.

Ini sekali gus menjadikan jumlah anggota yang terlibat mencari mangsa yang dikenali sebagai Nora Anne Quoirin, 15, yang dilaporkan hilang dari sebuah resort di Seremban semalam, sebanyak 159 anggota.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan Che Zakaria Othman berkata selain Polis Diraja Malaysia, operasi berkenaan turut disertai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Jabatan Perhutanan serta masyarakat Orang Asli.

“Dengan penambahan anggota, kita turut memperluaskan kawasan pencarian. Kawasan resort tersebut adalah seluas 1.215 hektar,” katanya pada sidang media di Balai Polis Pantai, hari ini yang turut dihadiri Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Wan Rukman Wan Hassan dan Ketua Polis Daerah Nilai Mohd Nor Marzukee Besar.

Sehingga kini katanya, pasukan mencari belum berjaya menjejaki mangsa.

Dalam pada itu, Che Zakaria berkata kerjasama orang awam juga diperlukan untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan remaja berkenaan sekiranya terjumpa.

“Kita akan edarkan gambar kepada media untuk disebarkan dan kita minta kerjasama daripada orang awam untuk membantu kita sekiranya terjumpa di mana-mana lokasi atau ada sebarang maklumat seperti berada dalam kawasan rumah orang, rumah kosong atau ladang di mana-mana, maklum kepada polis segera,” katanya.

Beliau berkata tiada peranti rakaman litar tertutup (CCTV) di chalet yang diduduki keluarga berkenaan sebaliknya hanya terdapat di lobi resort berkenaan.

“Bagaimanapun, barang peribadi milik mangsa seperti pasport berada dalam jagaan keluarganya dan kita percaya dia tidak membawa apa-apa,” katanya.

Susulan kehilangan remaja berkenaan, Che Zakaria berkata Kedutaan Ireland di negara ini dimaklumkan semalam.

“Operasi mencari dan menyelamat ini dibahagikan kepada 2 pasukan yang mana 1 pasukan dengan bantuan Orang Asli dan Jabatan Perhutanan memasuki kawasan hutan, manakala 1 pasukan lagi di kawasan luar termasuk di sekitar perkampungan dan pekan Pantai.

“Semalam, kawasan pencarian adalah di sekitar resort ini dan sekarang kita hendak perluaskan lagi kawasan pencarian sehingga kita dapat mengesan mangsa. Setakat ini tiada sebarang petunjuk,” katanya.

Semalam, media melaporkan remaja berkenaan disedari hilang daripada bilik penginapannya di sebuah resort oleh keluarganya pada pukul 8 pagi.

Keluarga mangsa juga memaklumkan remaja perempuan itu mengalami masalah pembelajaran.

Berita kehilangan remaja berkenaan turut disiarkan media antarabangsa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.