Tolak Arabisme jika mahu lestarikan budaya Melayu, kata Rais Yatim

Tolak Arabisme jika mahu lestarikan budaya Melayu, kata Rais Yatim

Bekas penasihat sosiobudaya kerajaan menyeru Malaysia dan Indonesia memberi contoh 'budaya masa depan'.

Bekas penasihat sosiobudaya kerajaan, Rais Yatim.
LANGKAWI:
Bekas penasihat sosiobudaya kerajaan, Rais Yatim hari ini menyeru pejuang budaya supaya bersama-sama menyingkirkan Arabisme dalam budaya Melayu demi kelestarian “budaya kita”.

Beliau berkata tidak ramai orang berani bercakap tentang mengeluarkan Arabisme daripada Islam, malah menegaskan Arab tidak lebih baik daripada Nusantara.

“Sekarang Arab Saudi bunuh Yemen. Di mana letaknya budaya Islam? Siapa nak jadi contoh lagi? Saya nak cadangkan supaya Malaysia dan Indonesia khasnya memberi contoh hebat kepada dunia tentang budaya masa depan.

“Ini pemikiran besar kita. Kita tak boleh hanya bercakap tentang sintaksis dan sebagainya tetapi kita tidak membawa mesej kebesaran bangsa-bangsa kita,” katanya pada majlis perasmian Seminar Antarabangsa Susastera, Bahasa dan Budaya Nusantara (SUTERA) 2019 di Pusat Penyelidikan Langkawi (PPL) kelmarin.

Rais berkata usaha melestarikan budaya Malaysia mesti bermula dengan bahasa, dan menyeru pejuang budaya mengambil iktibar daripada penyusupan bahasa Inggeris yang sudah mengubah struktur bahasa kebangsaan itu.

Mengambil contoh sebuah buku tentang tatabahasa bahasa Melayu, Rais berkata di dalamnya tertera perkataan seperti adverba, adjectiva dan morfalia.

“Rupa-rupanya ‘grammar’ ini sudah 15 tahun, dah berakar umbi. Marah pula sekarang bercakap orang putih. Macam mana tak bercakap orang putih, bahasa kita dah diorangputihkan.

“Bagaimana nak kembali balik kepada Za’aba?” katanya, merujuk kepada penulis, Zainal Abidin Ahmad yang memperkenalkan tatabahasa Melayu Malaysia moden.

“Bukan mudah. Airnya dah kita minum, nasinya dah kita makan, ayamnya dah disembelih,” katanya.

Rais berkata usaha memulihara bahasa Melayu sukar tetapi mesti cuba, dan untuk itu Malaysia mesti kembali kepada asas kita dalam pemikiran dan perbuatan.

“Mohon kita supaya kita jangan diarabkan tetapi diislamkan…mesti kita cari bagaimana kemelayuannya atau kemalaysianannya, muncul balik, tidak arabisme naik.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.