Tiada bahan berbahaya dalam gula berasap seperti rokok, kata timbalan menteri

Tiada bahan berbahaya dalam gula berasap seperti rokok, kata timbalan menteri

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye bagaimanapun berkata, pengambilan 'Ghost Smoke' dalam kalangan kanak-kanak tidak digalakkan kerana boleh mempengaruhi mereka menjadi perokok.

Lee Boon Chye berkata, sampel sudah dihantar kepada beberapa universiti untuk mengkaji mekanisme gula-gula ‘Ghost Smoke’ mengeluarkan asap. (Gambar Facebook)
IPOH:
Hasil kajian awal mendapati tiada bahan berbahaya dalam kandungan gula-gula “Ghost Smoke” yang dijual di pasaran, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye.

Beliau berkata, walaupun tiada kandungan berbahaya, namun pengambilan produk itu dalam kalangan kanak-kanak tidak digalakkan kerana boleh mempengaruhi mereka menjadi perokok.

“Kita juga masih mengkaji mekanisme gula-gula ‘Ghost Smoke’ mengeluarkan asap dan kita menghantar sampel kepada beberapa universiti untuk kajian tersebut dan setakat ini masih belum ada keputusan,” katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada 200 warga emas dan golongan miskin di Taman Song Choon di sini, hari ini.

Lee yang juga ahli Parlimen Gopeng berkata, Kementerian Kesihatan bekerjasama dengan peserta industri bagi menyekat penjualan peranti rokok elektronik atau vape berbentuk jam tangan dan pen kepada pelajar sekolah.

Beliau berkata, pihaknya sudah berbincang dengan pengeluar vape yang bersetuju menarik balik penjualan peranti berbentuk jam tangan atau pen di pasaran.

“Ibu bapa dan guru juga perlu memberi perhatian serius sekiranya terdapat pelajar yang menggunakan jam tangan atau pen dalam bentuk mencurigakan kerana penggunaan vape boleh memudaratkan kesihatan pelajar serta menyebabkan ketagihan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.