
Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat itu berkata, pengurusan sisa daripada pemprosesan nadir bumi di kilangnya di Gebeng, Kuantan, ialah bahagian penting daripada perancangan dan operasinya, dan ia sentiasa mematuhi syarat lesen yang mengkehendaki sisa berkenaan disimpan selamat.
Kenyataan yang ditandatangani Pengarah Urusannya, Mashal Ahmad dan Pengurus Besar Keselamatan Radiasi, Peraturan dan Pematuhannya, Ismail Bahari berkata, Lynas kini menimbang beberapa opsyen untuk menyimpan sisa penulenan air larut lesap (WLP), termasuk di kolam lombong yang tidak digunakan di negeri itu.
Lynas berkata, ia mengalu-alukan isyarat terbaru Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, eksport sisa WLP tidak akan menjadi syarat pembaharuan lesen operasinya.
Katanya, sisa berkenaan disimpan di pusat pembuangan kekal (PDF) yang diluluskan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom.
Menurut kenyataan itu lagi, Jawatankuasa Eksekutif Penilaian Lynas yang ditubuhkan kerajaan mendapati operasi Lynas Malaysia mematuhi peraturan ditetapkan dan kemudahan penyimpanan sisanya dijalankan dengan kaedah betul.
“Lynas juga mematuhi syarat lesen supaya menyempurnakan kajian untuk mengenal pasti pilihan penggunaan semula sisanya dengan cara selamat.
“Kajian bebas dan industri sejak beberapa tahun lepas juga menunjukkan sisa WLP, iaitu bahan fosfat besi, mempunyai paras radioaktif sangat rendah dan selamat untuk digunakan semula dalam produk pemulih tanah.
“Lynas juga mematuhi syarat lesennya berkaitan rancangan PDF. Sekiranya kerajaan Malaysia mahu PDF diwujudkan, maka amalan dan kajian pengurusan sisa Lynas sedia ada, selain amalan terbaik antarabangsa, boleh digunakan untuk mengenal pasti pilihan terbaik dalam penggunaan semula bahan itu,” katanya.
Kenyataan itu berkata, sebagai contoh, terdapat banyak bekas kolam lombong yang tidak digunakan di Pahang dan perlu dipulihkan.
“Justeru sesebuah PDF boleh dibentuk dalam membantu memulihkan tanah terbabit, sekali gus memberi manfaat kepada alam sekitar secara mapan.”
Lynas memberi jaminan akan bekerjasama dengan kerajaan pusat dan negeri untuk melaksanakan rancangan tersebut.
Lesen operasi kilang pemprosesan Lynas akan tamat pada 2 September depan.
Pada 2 Ogos lepas, Mahathir dilaporkan berkata Lynas diarah membina sebuah PDF bagi merawat sisa WLP yang terhasil daripada pemprosesan nadir bumi di kilangnya di Gebeng.