
Bekas pesuruhjaya Suhakam, Muhammad Sha’ani Abdullah ketika dihubungi FMT berkata, banyak pelanggaran hak asasi manusia berlaku dalam urusan kerja berpunca daripada kejahilan.
Beliau berkata demikian susulan gesaan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) agar Suhakam aktif menganjurkan seminar dan bengkel yang mengajar orang awam mengenai isu melibatkan hak asasi manusia.

Jelas Sha’ani, sudah menjadi salah satu mandat suruhanjaya tesebut untuk menyebarkan kesedaran tentang hak asasi kepada seluruh masyarakat selari dengan 4 (1) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 tentang fungsi dan kuasa badan itu.
“Suhakam perlu melaksanakan program kesedaran hak asasi manusia kepada semua anggota Kabinet, ahli Dewan Negara dan juga semua ahli Parlimen.
“Ahli Dewan Undangan Negeri, pegawai kerajaan dan pemimpin parti politik juga perlu dilibatkan untuk memastikan mereka memahami prinsip dan sistem hak asasi manusia,” katanya yang menjadi pesuruhjaya Suhakam bagi sesi 2010 hingga 2013.
Mengulas lanjut, Sha’ani juga menyarankan agar Suhakam menarik penyertaan masyarakat sivil dalam proses itu.
Beliau berkata, setiap orang terdedah kepada pelbagai cabaran dan isu berkaitan pelanggaran hak asasi manusia yang berkemungkinan akan mempengaruhi kehidupan mereka.
“Kumpulan sasaran ini juga akan menghargai kepentingan memartabatkan hak asasi manusia dalam semua proses demokrasi dalam negara ini” katanya.
Sebelum ini, FMT melaporkan gesaan pengerusi pertubuhan SAVE Rivers Network, Peter Kailang yang meminta pesuruhjaya baru Suhakam supaya membawa perubahan kepada masyarakat Malaysia.
Kallang berkata, Suhakam tidak harus sekadar menjadi organisasi yang menerima aduan, tetapi entiti yang mendidik masyarakat tentang hak yang melindungi mereka sebagai rakyat di negara ini.
“Suhakam juga mesti mendapatkan maklum balas dari bawah dan berkomunikasi dengan orang lain di peringkat akar umbi,” katanya.