
Menterinya, Azmin Ali berkata cadangan itu sedang diteliti Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) sebelum dipertimbangkan di peringkat kementerian berkaitan.
“Kita mengambil maklum keperluan lapangan terbang ini untuk jangka panjang, baik untuk negara dan juga utara Semenanjung, termasuk Pulau Pinang, Kedah dan Perak. Kita lihat sebagai contoh banyak aktiviti ekonomi di antara selatan Thailand melalui Pelabuhan Pulau Pinang.
“Sudah tentu kapasiti ini pada satu masa nanti akan memerlukan kerja-kerja menaik taraf dan pembesaran, sama ada Pelabuhan Pulau Pinang ataupun Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA),” katanya selepas Majlis Penyerahan Kunci Pangsapuri Kos Sederhana Rendah Casa Anggun Sungai Nibong hari ini.
Beliau berkata, cadangan pembinaan lapangan terbang itu bakal mewujudkan satu pertumbuhan ekonomi yang memberikan kebaikan kepada semua negeri di utara Semenanjung.
Mengenai dakwaan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow membantah cadangan itu, Azmin berkata, itu bukan bantahan, sebaliknya Chow memberikan pandangan.
“Pandangan ini memang sedang dibincangkan, projek ini melengkapi satu sama lain. Pulau Pinang ada kekuatannya dengan Pelabuhan Pulau Pinang dan lapangan terbang. Tetapi, kita sedia maklum PIA pun sudah sampai satu tahap kapasiti maksimum. Untuk melakukan pembesaran, ada perkara yang kita perlu pertimbangkan.”
Chow dilaporkan berkata, pembinaan KXP dijangka menjadi saingan dan mengurangkan kadar penggunaan kemudahan infrastruktur kargo di PIA dan pelaburan langsung asing ke negeri itu.
Mac lalu, Azmin mengumumkan kerajaan meluluskan 7 projek dan program berimpak tinggi di Kedah bernilai lebih RM3.6 bilion, termasuk pembinaan KXP yang membabitkan pelaburan luar berjumlah RM1.6 bilion.
Bagaimanapun, pengumuman itu mendapat reaksi berbeza daripada kerajaan Pulau Pinang yang berpendapat pembinaan KXP di lokasi kira-kira 60km dari Pulau Pinang akan memberi impak negatif kepada PIA dan negeri itu.