
“Kita perlu mengurangkan kehadiran kapal perang di perairan yang menjadi medan pertikaian demi menjamin keamanan dan kestabilan, keselamatan dan kebebasan pelayaran di Laut China Selatan.
“Ia adalah laluan bebas, tetapi apabila ada terlalu banyak kapal, kami bimbang,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Saifuddin mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Menteri Luar Asean ke-52 serta pasca Persidangan Menteri dan Mesyuarat Berkaitan (AMM/PMC ke-52) yang berakhir hari ini.
Beliau berkata, menteri luar Asean yang terdiri daripada 10 negara anggota menekankan kepentingan menghormati prinsip “non-militarisation” di Laut China Selatan.
Katanya, mereka juga bertukar pandangan mengenai Laut China Selatan di pelbagai platform semasa AMM dan PMC, serta dengan rakan dialog semasa Forum Serantau Asean dan Sidang Kemuncak Asia Timur.
Ketegangan memuncak di kawasan pertikaian di Laut China Selatan, apabila Beijing menjalankan ujian peluru berpandu balistik anti-kapal di kawasan itu bulan lalu, manakala Vietnam menuduh China mencabuli kedaulatannya dengan mencampur tangtan aktiviti minyak dan gas di kawasan luar pesisirnya.
Jun lalu, sebuah bot nelayan Filipina yang dipercayai membawa sejumlah besar minyak dan gas asli tenggelam selepas ia dilanggar sebuah kapal China.
Rabu lalu, Menteri Luar China, Wang Yi dilaporkan berkata, Asean dan Beijing sudah menyelesaikan pembacaan pertama draf teks tunggal rundingan bagi kod tatalaku (CoC).
Saifuddin berkata, aktiviti navigasi perlu dikurangkan di Laut China Selatan yang menyaksikan tuntutan bertindih.
“Semasa kita membincangkan CoC, terdapat juga aktiviti lain yang berlaku di satu atau 2 pulau (dipertikaikan) di Laut China Selatan.”
Mengenai AMM/PMC ke-52, Saifuddin berkata, Malaysia mengemukakan kepentingan dan pandangannya mengenai isu serantau serta antarabangsa demi kebimbangan bersama.
“Kami mengadakan perbincangan yang baik. Asean adalah platform penting untuk bersuara dan membincangkan keamanan dunia serta perdagangan antarabangsa.
“Sekiranya ada tempat-tempat yang dituntut mana-mana negara, maka kita jangan menambah aktiviti di tempat sama yang boleh menimbulkan tanda tanya.”
Beliau turut mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya di luar AMM/PMC ke-52 untuk membincangkan isu hubungan dua hala, kerjasama serantau, Laut China Selatan, keadaan di Rakhine serta keselamatan serantau.