Saya belum terima surat PKR berkait isu video seks gay, kata MB Selangor

Saya belum terima surat PKR berkait isu video seks gay, kata MB Selangor

Ia susulan nasihat Biro Politik PKR untuk Lembaga Disiplin memanggil Amirudin, Ketua PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dan beberapa individu lain berhubung kenyataan mereka berkaitan isu video seks sejenis.

Sebelum ini, sumber dilaporkan berkata, Amirudin Shari dipanggil Lembaga Disiplin PKR kerana ‘ucapannya pada majlis solat hajat’ di kediaman rasminya pada 21 Julai lalu.
SHAH ALAM:
Ketua PKR Selangor, Amirudin Shari berkata, beliau belum menerima surat atau panggilan daripada Lembaga Disiplin parti susulan kenyataannya berhubung dalang penyebaran video seks sejenis yang menyasarkan Timbalan Presiden, Azmin Ali.

“Setakat ini belum ada surat atau panggilan lagi. Alhamdulillah tidak ada,” katanya selepas menghadiri Simposium Kepimpinan Cendekiawan Universiti ke-10 di sini, hari ini.

Pada 25 Julai lalu, Lembaga Disiplin PKR dilaporkan berkata, ia akan menghantar surat kepada Ketua PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, Amirudin dan beberapa individu atas nasihat Biro Politik parti itu untuk menjelaskan kenyataan bersifat kontroversi yang dibuat mereka.

Katanya, Lembaga Disiplin berhak mengambil tindakan berdasarkan tatacara disiplin parti, jika peringatan yang diberikan itu tidak mendapat respons positif daripada individu terbabit.

Sumber dilaporkan berkata, Amirudin dipanggil Lembaga Disiplin PKR kerana “ucapannya pada majlis solat hajat” di kediaman rasminya pada 21 Julai lalu.

Minggu lalu, Amirudin dilaporkan berkata, beliau sedia berdepan Lembaga Disiplin PKR dan akan memberikan penjelasan terhadap semua perkara berbangkit.

Pertemuan Zuraida dan Adun Selangor

Sementara itu, Amirudin menafikan pertemuan beberapa Adun Selangor dan Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin di kediaman rasminya malam tadi berkaitan isu video seks sejenis.

Menteri besar Selangor itu berkata, pertemuan itu membincangkan isu perumahan kerana Zuraida ialah menteri perumahan dan kerajaan tempatan.

“Tidak ada bincang (mengenai isu kedudukan sesiapa dalam parti). Namun, yang saya tahu isu Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Saya datang sekejap dan keluar kerana ada urusan lain.”

Antara Adun yang menghadiri pertemuan itu adalah Azmizan Zaman Huri (Pelabuhan Klang), Muhammad Hilman Idham (Gombak Setia), Adhif Syan Abdullah (Dengkil), Mohd Zawawi Ahmad Mughni (Sungai Kandis) dan Mohd Khairuddin Othman (Paya Jaras).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.