Saudi benarkan wanita ke negara lain tanpa izin mahram

Saudi benarkan wanita ke negara lain tanpa izin mahram

Akhbar pro-kerajaan, Okaz memetik pegawai kanan kerajaan sebagai berkata, peraturan itu akan dilaksanakan kepada wanita berusia 21 tahun ke atas.

Pengkritik berkata, dasar membenarkan wanita keluar negara tanpa mahram hanya bersifat luaran, kecuali Saudi menghapuskan sistem ‘penjaga’ yang memberi lelaki hak arbitrari ke atas saudara wanita mereka. (Gambar AFP)
RIYADH:
Arab Saudi membenarkan wanita mendapatkan pasport dan melancong ke negara lain tanpa keizinan mahram, kata kerajaan pada Khamis yang menamatkan larangan lama dan dikritik masyarakat antarabangsa.

“Pasport akan diberikan kepada mana-mana warga Saudi yang mengemukakan permohonan,” demikian menurut arahan kerajaan yang disiarkan dalam warta rasmi Umm Al Qura.

Akhbar pro-kerajaan, Okaz dan media tempatan lain memetik pegawai kanan kerajaan sebagai berkata, peraturan itu akan dilaksanakan kepada wanita berusia 21 tahun ke atas.

Sebelum ini, wanita di negara itu perlu mendapatkan kebenaran mahram – suami, ayah atau saudara lelaki – untuk berkahwin, memperbaharui pasport mereka atau keluar negara.

Aktivis hak asasi wanita sudah berjuang selama berdekad menentang sistem “penjaga” itu.

Keputusan itu dibuat ketika pelbagai kempen liberalisasi dilaksanakan Putera Mahkota, Mohammed bin Salman untuk mengubah negara konservatif itu yang sekian lama dikritik masyarakat antarabangsa kerana layanannya terhadap wanita.

Pembaharuan itu termasuk membatalkan larangan ke atas pemandu wanita pada Jun 2018, membenarkan wanita menyaksikan perlawanan bola sepak bersama lelaki dan bekerja dalam bidang yang didominasi lelaki.

Walaupun dasar baru itu mengubah kehidupan ramai wanita, pengkritik berkata, pembaharuan itu hanya bersifat luaran, kecuali Saudi menghapuskan sistem “penjaga” yang memberi lelaki hak arbitrari ke atas saudara wanita mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.