Pemimpin Umno Pekan gagal selesai saman lucut hak RM100,000

Pemimpin Umno Pekan gagal selesai saman lucut hak RM100,000

Kerajaan juga menuntut RM700,000 daripada Umno Pekan yang diketuai bekas perdana menteri Najib Razak.

SPRM mahu mendapatkan semula wang berjumlah RM270 juta yang didakwa milik 1MDB daripada 41 individu dan pertubuhan.
KUALA LUMPUR:
Putrajaya menolak tawaran seorang ahli jawatankuasa Umno Pekan untuk membayar RM50,000 sebagai penyelesaian bagi menghentikan kerajaan daripada meneruskan saman pelucuthakan yang difailkannya.

Timbalan pendakwa raya, Allan Suman Pillai memberitahu hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Ghazali hari ini bahawa tawaran itu dibuat menerusi surat representasi oleh ketua biro pendidikan Umno Pekan, Ibrahim Awang Ismail.

“Surat tawaran bertarikh 17 Julai itu yang menawarkan bayaran 50% daripada RM100,000 yang dituntut adalah ditolak.

“Saya difahamkan peguam responden akan membuat satu lagi representasi bagi penyelesaian penuh,” katanya.

Pillai kemudiannya menjelaskan kepada hakim bahawa peguam Ibrahim mengisyaratkan beliau akan memulangkan kesemua RM100,000 itu supaya kerajaan menarik balik samannya.

Dalam pada itu, peguam Nur Shafiqa Balqish Jafri, yang mewakili Ibrahim berkata, permohonan anak guamnnya untuk membatalkan saman kerajaan akan kekal sementara menunggu keputusan representasi ke-2.

Nazlan menetapkan 23 Ogos depan bagi pihak terlibat memaklumkan kepadanya tentang representasi tersebut.

Kerajaan juga menuntut RM700,000 daripada Umno Pekan yang diketuai bekas perdana menteri Najib Razak.

Umno bahagian itu juga memfailkan permohonan untuk membatalkan saman pelucuthakan kerajaan terhadapnya berhubung dana yang didakwa milik 1MDB yang dimasukkan ke dalam akaun banknya.

Pada Jun, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya berkata, agensi itu memfailkan 41 saman pelucuthakan terhadap individu dan pertubuhan berhubung dana yang didakwa disalurkan daripada bank akaun Najib.

Kerajaan mahu mendapatkan semula wang berjumlah RM270 juta daripada mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.