
Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali berkata, berdasarkan keputusan terbaru Mahkamah Persekutuan dalam kes Pendakwa Raya lwn Najib Razak, tidak ada sebab mendesak untuk memberi penangguhan sementara menunggu keputusan rayuan.
“Tidak ada hal keadaan khas atau luar biasa untuk memberikan penangguhan,” kata Nazlan ketika menolak permohonan ahli perniagaan Tan Eng Boon.
Perbicaraan Tan dijadualkan bermula dari 10 hingga 12 Sept di hadapan Nazlan.
Pada 20 Mac, seorang lagi hakim Mahkamah Tinggi, Mohamad Zaini Mazlan menerima permohonan pendakwaan untuk memindahkan kes rasuah Tan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.
Tan memfailkan rayuan untuk menghentikan perbicaraan daripada dimulakan sementara menunggu keputusan Mahkamah Rayuan.
Pada 15 Nov 2018, Tan, yang juga seorang pengarah sebuah syarikat pemaju hartanah mengaku tidak bersalah memberi rasuah berjumlah RM1 juta kepada Tengku Adnan melalui satu cek Public Bank milik Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akaun bank CIMB yang dimiliki oleh beliau.
Tan didakwa membuat bayaran itu kepada Tengku Adnan bagi mendapatkan kelulusan membenarkan Nucleus Properties Sdn Bhd (kini dikenali sebagai Paragon City Development Sdn Bhd) menambah nisbah lot industri sekeping tanah di Jalan Semarak.
Tengku Adnan, yang juga ahli Parlimen Putrajaya, didakwa menerima RM1 juta daripada Tan, dan perbicaraannya ditetapkan pada 10 hingga 12 Sept di hadapan Nazlan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di cawangan bank CIMB di Pusat Dagangan Dunia Putra pada 27 Dis 2013.
Dalam pada itu, Nazlan akan membuat keputusan berhubung permohonan pihak pendakwaan untuk membicarakan Tengku Adnan dan Tan bersama-sama.
Timbalan pendakwa raya, Julia Ibrahim hari ini berhujah bahawa perbicaraan bersama boleh diadakan kerana kedua-dua kes adalah serupa kerana Tan memberi rasuah, sementara Tengku Adnan menerimanya.
“Dua kes dengan fakta serupa boleh digabungkan kerana wujud kesatuan tujuan dan bentuk,” katanya.
Beliau berkata, Tengku Adnan dan Tan sepatutnya didakwa di mahkamah yang sama hari ini, tetapi tidak dapat dibuat begitu kerana prosedur e-pemfailan.
Bagaimanapun, peguam Faizal Moideen, yang mewakili Tan berkata, anak guamnnya tidak akan mendapat keadilan sekiranya pembelaan dipanggil.
“Sebagai tertuduh bersama, Tengku Adnan tidak boleh dipaksa memberi keterangan atau kami tidak boleh membuat pemeriksaan balas sekiranya beliau memilih untuk berdiam diri,” katanya.