
Ketua Turus Bersama (JSC) berkata, peluru berpandu itu dilancar pada 2.59 pagi dan 3.23 pagi dari Yonghung, wilayah selatan Hamgyong ke Laut Timur.
“Kami sedang memantau keadaan itu dan sentiasa bersiap sedia berdepan sebarang kemungkinan,” kata JCS.
Minggu lalu, Korea Utara menguji 2 lagi peluru berpandu balistiknya sebagai amaran “serius” susulan perancangan Korea Selatan mengadakan latihan ketenteraan dengan Amerika Syarikat (AS) bulan ini.
Di bawah resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Korea Utara dilarang menguji apa jua jenis peluru berpandu.
Reuters sebelum ini, memetik 2 pegawai AS mengatakan tindakan terbaru Korea Utara itu dikesan pada Jumaat (waktu Seoul).
Pelancaran itu tidak memberi ancaman kepada AS dan masih tidak dapat dipastikan berapa banyak peluru berpandu yang diuji.
Di Rumah Putih, Presiden Donald Trump berkata, beliau tidak mempunyai sebarang masalah dengan ujian peluru berpandu itu.
Trump dan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un sebelum ini dilaporkan bersepakat untuk menyambung semula rundingan peringkat pegawai mengenai senjata nuklear.
“Saya rasa keadaan sekarang terkawal,” katanya kepada pemberita.
Ditanya sama ada beliau akan meneruskan perbincangan pelucutan senjata nuklear dengan Kim, Trump berkata “sudah pasti.”
“Kami tidak pernah menyentuh mengenai peluru jarak dekat, apa yang kami rundingan ialah senjata nuklear,” katanya.