70% kontraktor disenarai pendek untuk ECRL syarikat Bumiputera

70% kontraktor disenarai pendek untuk ECRL syarikat Bumiputera

331 syarikat kontraktor Malaysia disenarai pendek sebagai penender berpotensi, kata MRL.

KUALA LUMPUR: Pelawaan tender untuk kontraktor-kontraktor tempatan bagi pakej kerja-kerja sivil projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan bermula pada suku ke-4 2019, kata Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL).

Ketua Pegawai Eksekutif Darwis Abdul Razak berkata, sebanyak 331 syarikat kontraktor Malaysia disenarai pendek sebagai penender berpotensi menerusi program Pra-Kelayakan (Pra-Q) baru-baru ini.

“Pakej tender untuk 40% kerja-kerja sivil (tidak termasuk kerja-kerja terowong) akan melibatkan jajaran dari Dungun ke Mentakab yang merangkumi jarak sepanjang 223 kilometer yang telah dimuktamadkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Darwis, tender-tender pada masa depan akan melibatkan jajaran dari Kota Bharu ke Dungun serta jajaran Selatan baharu antara Mentakab dan Port Klang apabila dimuktamadkan kelak.

“Projek yang dijangka siap pada 2026 ini juga berkait rapat kepada penglibatan efektif oleh kontraktor-kontraktor tempatan dalam kerja-kerja sivil ECRL termasuk kerja-kerja tanah, asas, struktur, penambahbaikan tanah dan jalan,” katanya.

Beliau berkata, Jawatankuasa Penilaian Pra-Q yang diwakili oleh MRL dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) menyenarai pendek sebanyak 331 atau 25.1% daripada 1,321 syarikat kontraktor Malaysia yang berpotensi menjadi penender ECRL selepas menilai latar belakang, pengurusan kewangan, kakitangan teknikal serta loji dan peralatan syarikat tersebut.

Menurutnya, daripada 331 syarikat pembinaan yang lulus saringan dan tersenarai sebagai penender berpotensi, syarikat yang berkategori CIDB G7 mewakili jumlah terbesar iaitu 164 buah syarikat disusuli dengan gred CIDB G4 iaitu 69 entiti.

Baki syarikat lain Gred CIDB G3 iaitu 45 syarikat manakala G5 dan G6 masing-masing sebanyak 33 dan 20 syarikat.

“Jawatankuasa Penilaian Pra-Q turut mengenalpasti sebanyak 234 atau 70.7% daripada 331 syarikat pembinaan yang dipilih merupakan syarikat milik Bumiputera,” katanya.

Beliau berkata semua syarikat yang disenarai pendek akan menerima makluman secara bertulis sebelum akhir Ogos 2019 daripada CCCC yang merupakan kontraktror kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bagi projek ECRL sepanjang 640 kilometer.

Sebelum penggantungan projek ECRL, CCCC melantik syarikat tempatan merangkumi pembekal, kontraktor dan perunding bagi kerja-kerja awalan ECRL.

“Oleh itu, dengan penyambungan semula projek ECRL, pihak CCCC akan menghormati semua kontrak terbabit dan membolehkan syarikat tempatan berkaitan menyambung kembali tugas masing-masing,” katanya.

Projek ECRL membabitkan rangkaian rel sejauh 640 kilometer itu dijadual siap menjelang Disember 2026 dan menghubungkan Kota Bharu ke Putrajaya dalam masa 4 jam dengan kos lebih rendah sebanyak RM44 bilion.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.