Pemimpin tertinggi urus dana politik, staf ibu pejabat Umno beritahu mahkamah

Pemimpin tertinggi urus dana politik, staf ibu pejabat Umno beritahu mahkamah

Hanya pimpinan tertinggi Umno, seperti bendahari, setiausaha agung, ketua penerangan dan setiausaha eksekutif mengurus dana berkaitan politik.

Bekas menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor.
KUALA LUMPUR:
Seorang kakitangan ibu pejabat Umno hari ini memberitahu mahkamah dalam perbicaraan rasuah RM2 juta melibatkan Tengku Adnan Tengku Mansor bahawa beliau tidak maklum jika terdapat resit dikeluarkan oleh bekas menteri itu kepada seorang pemaju berikutan “sumbangan politik” yang diberikan kepada parti tersebut.

Farahdzilah yang bertugas di Jabatan Pengurusan Kewangan Umno berkata, beliau tidak terlibat menguruskan dana berkaitan politik.

Katanya, sebagai kakitangan di jabatan tersebut, beliau mengurus dokumen melibatkan gaji kakitangan dan bayaran kepada pembekal.

Farahdzillah berkata, hanya pimpinan tertinggi Umno, seperti bendahari, setiausaha agung, ketua penerangan dan setiausaha eksekutif mengurus dana berkaitan politik.

Katanya, Tengku Adnan adalah bendahari Umno sekarang.

Beliau bersetuju dengan cadangan peguam Tengku Adnan, Tan Hock Chuan bahawa resit yang dimaksudkan itu mungkin diurus oleh seorang pegawai perhubungan Umno negeri.

Tan: Berkaitan resit, ia bukan ibu pejabat, tapi Wilayah Persekutuan?

Farahdzillah: Ya.

Saksi itu menambah bahawa Tengku Adnan merupakan penanda tangan resit berkenaan.

Seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nik Muhammad Faiez Idris turut memberi keterangan hari ini.

Faiez, yang merupakan penolong pegawai penyiasat memberitahu mahkamah bahawa beliau diberitahu oleh ketua pegawai penyiasat, Muhammad Saad Bordani, supaya merampas buku resit bagi wang RM2 juta yang dikatakan diberikan oleh pemaju Chai Kin Kong daripada ibu pejabat Umno pada 17 Julai.

“Saya diberitahu resit itu penting,” katanya.

Faiez bagaimanapun berkata, Saad tidak memberikannya arahan lanjut berkaitan resit yang dirampas.

Perbicaraan bersambung di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Zaini Mazlan.

Tengku Adnan, yang dikenali dengan panggilan Ku Nan, dituduh menerima wang RM2 juta daripada Chai walaupun mengetahui bahawa syarikat milik ahli perniagaan itu mempunyai urus niaga dengan Kementerian Wilayah Persekutuan yang diketuainya pada masa itu.

Kesalahan itu dikatakan dilakukan di bank CIMB cawangan Pusat Bandar Damansara pada 14 Jun 2016.

Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 165 Kanun Kesiksaan iaitu kesalahan bagi seorang pegawai awam menerima suapan barang berharga yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 2 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.