
Arahan dikeluarkan Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu dalam kenyataan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Waytha Moorthy yang dikeluarkan hari ini.
Menurut kenyataan itu, Faizal dan Waytha mengadakan satu pertemuan semalam yang turut dihadiri Peguam Negara Tommy Thomas bagi membincangkan isu Orang Asli Kampung Tasik Cunex.
Kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri akan bekerjasama untuk menyelesaikan sebarang isu berkaitan komuniti Orang Asli serta mengambil serius perkara berkaitan hak-hak komuniti itu.
“Kedua-dua kerajaan komited untuk mencapai penyelesaian yang adil dan saksama untuk melindungi kepentingan komuniti Orang Asli di penempatan berkenaan,” menurut kenyataan itu.
Penduduk Orang Asli di Kampung Tasik Cunex membina sekatan sejak awal tahun ini bagi menghalang lori daripada mengeluarkan hasil balak di kawasan mereka, dan pada 16 Mei lalu, Faizal membenarkan pihak penguatkuasaan merobohkan sekatan berkenaan setelah meneliti semua aduan serta sudut perundangan.