
Istiadat gilang-gemilang yang mengangkat kedaulatan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua tertinggi negara itu bermula tepat 10.45 pagi ini sebaik Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat masuk ke Balairung Seri, Istana Negara bagi memulakan istiadat.
Alunan tiupan nafiri daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan paluan nobat daripada Kumpulan Nobat Diraja Terengganu yang memainkan lagu “Raja Berangkat” bergema mengiringi keberangkatan masuk pasangan diraja itu didahului Azuan Effendy Zairakithnaini yang diapit panglima yang membawa Cogan Alam dan Cogan Agama selain panglima lain yang membawa alat-alat kebesaran Diraja.
Cogan Alam dan Cogan Agama, kedua-duanya tongkat perak adalah sebahagian daripada alat kebesaran Diraja yang begitu signifikan dalam istiadat pertabalan dan menjadi lambang kebesaran institusi Yang di-Pertuan Agong dan kerajaan Malaysia.
Ketibaan Sultan Abdullah yang lengkap berpakaian rasmi Yang di-Pertuan Agong dikenali sebagai “Muskat” dan Tunku Azizah yang anggun dalam persalinan tenun Pahang berwarna putih gading menarik perhatian seluruh jemputan yang mengiringi langkah kedua-dua pasangan diraja itu untuk bersemayam di singgahsana.
Selain tetamu jemputan yang hadir di Istana Negara, istiadat pertabalan yang disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen negara juga membolehkan seluruh rakyat menyaksikan acara bersejarah itu yang istimewanya juga jatuh pada hari keputeraan Seri Paduka yang ke-60.
Selain Raja-Raja Melayu dan Permaisuri masing-masing, 2 tetamu diraja dari luar iaitu Putera Mahkota Abu Dhabi merangkap Timbalan Komander Tertinggi Angkatan Tentera Emiriah Arab Bersatu Sheikh Mohamed Zayed Al-Nahyan dan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan isteri, Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha turut berangkat ke istiadat pertabalan itu.
Ia turut dihadiri wakil Raja-Raja Melayu, Yang Dipertua-Yang Dipertua Negeri, perdana menteri, timbalan perdana menteri dan menteri Kabinet, selain tetamu kehormat yang terdiri daripada ketua diplomat asing dan pegawai kanan kerajaan.
Setelah Sultan Abdullah berdua duduk di atas Singgahsana, Azuan Effendy kemudiannya memohon perkenan baginda untuk menzahirkan istiadat pertabalan dengan membawa masuk naskhah Al-Quran serta baki alat-alat kebesaran Istiadat Pertabalan ke Balairung Seri termasuk Keris Kerajaan, Surat Pengisytiharan dan Warkah Ikrar yang diiringi paluan nobat lagu “Menjunjung Duli”.
Nashkah Al-Quran, yang merupakan lambang kemuliaan Islam sebagai agama rasmi negara, kemudiannya disembahkan oleh Azuan Effendy kepada baginda yang menyambut lalu mencium naskhah suci itu sebelum meletakkannya di atas rehal di meja sebelah kiri baginda.