Jangan samakan plastik dengan rokok, aktivis bidas exco Selangor

Jangan samakan plastik dengan rokok, aktivis bidas exco Selangor

Perokok memudaratkan diri sendiri sedangkan pembuangan plastik mencemarkan bumi untuk jangka masa beratus atau beribu tahun.

Semalam, exco Selangor Hee Loy Sian menyamakan kempen bebas plastik di negeri itu seperti kempen bebas asap rokok yang dijalankan kerajaan persekutuan. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Aktivis alam sekitar membidas kenyataan exco Selangor yang mengatakan tidak akan menutup kilang plastik yang beroperasi di negeri itu, meskipun menjalankan kempen bebas beg plastik dengan menyamakannya dengan kempen bebas asap rokok kerajaan persekutuan.

Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka), Shariffa Sabrina Syed Akil berkata jika Selangor betul-betul mahu hapuskan penggunaan beg plastik, ia sepatutnya mengharamkan terus kilang yang menghasilkan bahan seperti itu.

“Kita tidak boleh samakan kilang plastik dengan rokok kerana pembuangan plastik akan mencemarkan bumi untuk jangka masa beratus atau beribu tahun.

“Perokok mudaratkan dirinya sendiri. Jika mahu masyarakat berhenti menggunakan beg plastik, satu pendekatan yang drastik patut dilakukan kerana manusia ini ramai yang tidak bertanggungjawab,” katanya kepada FMT.

Shariffa berkata untuk lebih berkesan, kempen bebas beg plastik boleh dimulakan dengan pengharaman penyedut minuman dan plastik beg.

Katanya, kerajaan negeri juga boleh mengenakan denda yang sangat tinggi pada kilang pembuatan dan yang menjual plastik.

Shariffa Sabrina Syed Akil.

“Duit denda juga satu pendapatan pada kerajaan negeri. Nak seribu daya. Kenapa nak tunggu sampai 2025?

“Adakah sampai bumi ini dipenuhi dengan pembuangan plastik? Nanti sampai waktu dah terlambat. Prosedur operasi standard dan penguatkuasaan negara kita tersangat lemah,” katanya.

Semalam, di persidangan DUN, Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian menyamakan kempen bebas plastik di Selangor seperti kempen bebas asap rokok yang dijalankan kerajaan persekutuan.

“Tidak ada rancangan tutup kilang plastik sedia ada. Mereka hendak hasilkan produk itu kuasa mereka. Ini macam rokok, kita larang rokok tetapi kita masih benarkan kilang rokok untuk hasilkan rokok. Jangan jadikan ia isu.

“Pengguna ada hak gunakan beg plastik, kita hanya didik pelanggan supaya mereka kurangkan beg plastik. Pengharaman beg plastik hanyalah pada 2025,” katanya.

Sementara itu, pencinta alam sekitar, Anthony Tan Kee Huat berkata beliau memahami logik persamaan kilang beg plastik dengan kilang membuat rokok untuk mempunyai hak menjalankan perniagaan yang sah.

Katanya, ini adalah pilihan mereka dan ada dalam undang-undang.

Bagaimanapun beliau mempersoalkan adakah wajar Malaysia menerima pengeluaran beg plastik bagi kegunaan eksport.

“Ini apabila kita sendiri membuatnya haram untuk digunakan di negara ini. Adakah itu masuk akal kepada seluruh dunia?

“Banyak negara mula mengharamkan penggunaan beg plastik tunggal. Ini akan membawa kepada keputusan perniagaan, sama ada untuk meneruskan atau tidak,” katanya.

Anthony juga berkata apa yang kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri mesti nyatakan dengan jelas adalah bila tarikh “cut-off” penggunaan plastik.

“Kilang-kilang beg plastik ini mesti mematuhi piawaian alam sekitar masa depan. Persoalan lain adalah, walaupun berjalan secara sah, siapa yang akan membeli produk mereka?,” soalnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.