Saman fitnah Kok terhadap pemimpin kumpulan hak Melayu selesai luar mahkamah

Saman fitnah Kok terhadap pemimpin kumpulan hak Melayu selesai luar mahkamah

Saman fitnah itu diselesaikan dengan sejumlah wang yang tidak didedahkan dan Azwanddin Hamzah memohon maaf kepada Teresa Kok.

Teresa Kok (2 dari kiri) hadir di mahkamah bersama peguamnya, K Murali (3 dari kiri) dan SN Nair sebelum kesnya bermula hari ini.
KUALA LUMPUR:
Menteri Industri Utama, Teresa Kok hari ini menyelesaikan samannya terhadap seorang pemimpin kumpulan hak Melayu atas dakwaan dibuatnya dalam satu perhimpunan sempena kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim yang pemimpin DAP itu terbabit dalam pertikaian tanah di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya.

Peguamnya, SN Nair berkata, Kok dan Azwanddin Hamzah menyelesaikan kes mereka secara baik di luar mahkamah.

“Kita menyelesaikan kes itu hari ini dengan satu jumlah wang tidak didedahkan sebagai sebahagian penghakiman persetujuan.

“Permohonan maaf turut dirakamkan di depan hakim perbicaraan, Pesuruhjaya Kehakiman, Rohani Ismail di kamarnya,” katanya kepada wartawan.

Nair berkata, di bawah perintah penghakiman persetujuan, Azwanddin yang juga presiden Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) perlu menyiarkan permohonan maaf dalam seminggu di 3 akhbar, iaitu The Star, Sin Chew Daily dan Sinar Harian.

Azwanddin Hamzah (barbaju ungu) di luar Mahkamah TInggi Kuala Lumpur hari ini selepas prosiding saman fitnah Teresa Kok terhadapnya.

Beliau juga perlu menarik balik kenyataannya di media sosial mengenai Kok.

Hari ini sepatutnya hari pertama perbicaraan saman fitnah itu.

Kok memfailkan saman itu pada Januari lalu dengan menyifatkan dakwaan Azwanddin tidak berasas.

Katanya, beliau tidak pernah terbabit dalam rusuhan di kuil itu yang berlaku pada November tahun lalu dan kenyataan Azwanddin “jelas bermotif dan berniat jahat”.

Beliau menuntut ganti rungi dan injunksi menghalang Azwanddin atau ejennya mengulangi kenyataan itu.

Seorang lagi menteri, P Waytha Moorthy turut menyaman Azwanddin mendakwa pemimpin JMM itu menggunakan istilah menghina yang merujuk kepadanya dalam perhimpunan sama.

Saman Waytha terhadap Azwanddin akan bermula 16 Ogos ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.