Putrajaya sedia skim pinjaman mudah bantu 10,000 pekebun kecil sawit

Putrajaya sedia skim pinjaman mudah bantu 10,000 pekebun kecil sawit

Kerajaan menyediakan pinjaman mudah sebanyak RM550 juta dengan kadar faedah rendah 2% setahun untuk penanaman semula kelapa sawit.

Pada masa ini, Malaysia seluas 324,597 hektar kawasan tanaman sawit mempunyai profil umur pokok melebihi 25 tahun dan tidak lagi produktif.
KUALA LUMPUR:
Skim Pinjaman Mudah Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) dijangka dapat memanfaat seramai 7,000 hingga 10,000 pekebun kecil dengan anggaran keluasan tanaman berjumlah 50,000 hektar.

Menteri Industri Utama, Teresa Kok berkata kerajaan akan menyediakan pinjaman mudah sebanyak RM550 juta dengan kadar faedah rendah 2% setahun untuk penanaman semula kelapa sawit.

“Dua skim itu adalah TSPKS sebanyak RM500 juta dan Skim Pinjaman Mudah Input Pertanian Pekebun Kecil Sawit (IPPKS) sebanyak RM50 juta,” katanya pada sidang medianya di Parlimen.

Turut hadir Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Ketua Setiausaha Kementerian Industri Utama, Tan Yew Chong.

Teresa berkata pada masa ini, seluas 324,597 hektar kawasan tanaman sawit mempunyai profil umur pokok melebihi 25 tahun dan tidak lagi produktif.

Katanya, hasil produktiviti sawit yang rendah akan menjejaskan pendapatan pekebun kecil.

Beliau berkata skim pinjaman tersebut adalah untuk membantu meringankan beban kewangan pekebun kecil persendirian bagi melaksanakan penanaman semula sawit dan membantu memperoleh input pertanian dengan penggunaan benih yang disahkan serta baka yang berkualiti.

“Selain itu, skim ini juga dapat membantu pekebun kecil untuk meningkatkan hasil buah tandan segar (BTS) dan seterusnya meningkatkan pendapatan pekebun kecil sawit,” katanya.

Teresa berkata bagi Semenanjung, nilai pinjaman adalah RM10,000 sehektar dan had maksimum keluasan adalah 6.5 hektar atau RM65,000.

Manakala, bagi Sabah dan Sarawak, nilai pinjaman adalah RM14,000 sehektar dan had maksimum keluasan adalah 6.5 hektar atau RM91,000.

“Tempoh pinjaman skim TSPKS adalah sehingga 12 tahun termasuk tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman bagi 4 tahun pertama.

“Bagi skim IPPKS pula, dengan peruntukan sebanyak RM50 juta, dijangkakan seramai 3,000 hingga 5,000 pekebun kecil sawit dengan anggaran keluasan berjumlah 20,000 hektar akan memperoleh manfaat,” katanya.

Teresa berkata nilai pinjaman IPPKS adalah tidak melebihi RM2,500 sehektar dan had maksimum keluasan adalah 6.5 hektar sahaja atau RM16,250 sahaja.

Katanya, tempoh pinjaman adalah sehingga 24 bulan sahaja dan Kementerian Industri Utama menyediakan skop pinjaman, syarat permohonan, syarat pelaksanaan, proses kerja, senarai jawatankuasa, agensi pelaksana dan peruntukan bagi melaksanakan skim pinjaman itu.

“Untuk makluman, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) adalah agensi pelaksana dan Agrobank dilantik sebagai institusi pembiaya bagi menguruskan kedua-dua skim tersebut,” katanya.

Teresa juga memaklumkan pekebun kecil boleh memohon skim itu mulai 15 Ogos 2019.

Katanya, pelaksanaan skim itu adalah selaras dengan usaha Kerajaan untuk mengukuhkan komoditi sawit dan memartabatkan industri sawit di mata dunia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.