Korea Selatan hantar pulang 3 penumpang bot Korea Utara

Korea Selatan hantar pulang 3 penumpang bot Korea Utara

Tiga anak kapal Korea Utara ditemui dalam sebuah bot kayu sepanjang 10 meter ketika menyeberangi sempadan laut timur pada Sabtu.

Antara 31 Mei dan 14 Julai, hampir 380 bot dari Korea Utara diusir kerana menjalankan aktiviti memancing secara haram di selatan sempadan maritim dengan Korea Selatan. (Gambar Reuters)
SEOUL:
Korea Selatan akan menghantar pulang 3 penumpang sebuah bot dari Korea Utara yang ditahan ketika melintasi sempadan laut negara itu hujung minggu lalu, lapor agensi berita Yonhap.

Memetik Kementerian Penyatuan Korea Selatan pada Isnin, ketiga-tiga anak kapal itu ditemui dalam sebuah bot kayu sepanjang 10 meter ketika menyeberangi sempadan laut timur pada Sabtu malam.

Mereka kemudian dibawa ke pelabuhan Korea Selatan dan semasa sesi soal siasat, anak kapal terbabit meminta dihantar semula ke negara asal.

Perkara itu kemudian dimaklumkan kepada Korea Utara dan urusan penghantaran balik telah dilaksanakan.

Kapal itu dilihat belayar di perairan 5.5km di utara Garis Sempadan Utara (NLL), kira-kira 10.15 malam Sabtu.

Kira-kira 24 minit kemudian, kapal itu menuju ke arah selatan dan menyeberang NLL, menurut Ketua Turus Bersama (JCS).

Kapal itu kemudian mengibar bendera putih. Seorang daripada mereka berpakaian seragam tentera, walaupun tidak dapat disahkan sama ada dia masih bertugas sebagai anggota tentera dan pihak berkuasa Korea Selatan menunda bot berkenaan.

Kebiasaannya apabila bot nelayan Korea Utara menyeberangi sempadan laut, tentera Korea Selatan akan mengarahkan mereka kembali ke perairan negara asal.

Semasa musim penangkapan sotong, jumlah nelayan Korea Utara banyak menceroboh NLL, menurut JCS.

Antara 31 Mei dan 14 Julai, kira-kira 380 bot dari negara itu diusir kerana menjalankan aktiviti memancing secara haram di selatan sempadan maritim.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.