Kedah cari jalan atasi masalah tempat pelupusan sampah

Kedah cari jalan atasi masalah tempat pelupusan sampah

Menteri besar difahamkan ada individu menyediakan tanah untuk pembuangan sampah dan mengenakan bayaran RM20.

PENDANG: Kerajaan Kedah akan mencari jalan penyelesaian menyeluruh bagi mengatasi masalah tempat pelupusan sampah yang mengakibatkan pencemaran di Kampung Kemumbung, Sidam Kiri, dekat Sungai Petani.

Menteri Besar Mukhriz Mahathir berkata, pendekatan yang diambil juga perlu mengambil kira tempat pelupusan itu berada di atas tanah milik seorang penduduk kampung.

“Kita ada tempat pelupusan sampah di Semeling, Merbok tetapi disebabkan Sungai Petani adalah penyumbang terbesar pembuangan sampah, lori yang membawa sampah kadang-kadang terpaksa beratur sehingga empat jam di situ untuk membuang sampah.

“Mungkin sebab itu, saya difahamkan ada individu yang mengambil peluang menyediakan tanah dan mengambil bayaran serendah RM20 untuk membuang pelbagai jenis sampah di kawasan yang terletak di tepi Sungai Muda itu,” katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan bersama usahawan padi berskala besar di Kampung Kubang Anak Gajah hari ini.

Exco Industri dan Pelaburan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Tan Kok Yew dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam, Sains dan Teknologi, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar negeri, Ooi Tze Min diminta berjumpa tuan tanah dan penduduk kampung berkenaan petang ini.

Mukhriz berkata, keputusan mengenai tindakan yang bakal diambil akan dibuat setelah mencapai kata sepakat antara semua pihak.

Media hari ini melaporkan sekurang-kurangnya 30 buah lori yang membawa muatan sampah didakwa memasuki kampung berkenaan setiap hari bagi melupuskan bahan buangan di tapak pelupusan itu.

Difahamkan, setiap lori hanya dikenakan bayaran serendah RM20 untuk membuang pelbagai jenis sampah di kawasan yang terletak di tepi Sungai Muda itu.

Keadaan itu mengundang masalah bau busuk kepada penduduk kampung itu sejak lebih 10 tahun lepas ekoran longgokan sampah yang semakin banyak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.