
Penaung kempen Selamatkan Harimau Malaya itu percaya semua pihak ada peranan tersendiri bagi memastikan kesinambungan spesis itu, yang dipercayai hanya tinggal kurang daripada 200 ekor di seluruh negara.
“Sebab ketamakan diri sendiri, kita kemungkinan tidak akan dapat melihat haiwan-haiwan ciptaan Allah ini,” katanya dalam ucapan sempena Hari Harimau Global 2019 dan pelancaran kempen Selamatkan Harimau Malaya 2019-2020.
“Sekali pupus, ia tidak akan ada lagi. Spesis ini ada di Semenanjung sahaja dan kalau kita tidak bersama-sama agensi lain, ia akan pupus. Kelak nanti hanya lambang pada jata dan kemeja T sahaja.”
Turut menyertai pelancaran kempen untuk simbol kebangsaan itu Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Xavier Jayakumar.

Dalam ucapannya, Siti Hasmah mendedahkan dia teringin memeluk harimau. Beliau berkata demikian selepas mengumumkan nama bagi 3 anak harimau bawah jagaan Zoo Negara, iaitu “Wira”, “Hebat” dan “Melur”.
“Anak harimau pun dah besar sudah: usia 3 bulan dan 3 kaki besar. Tak dapat saya peluk sebab baru lihat saya mereka sudah terperanjat dan meraung,” katanya.
Harimau Malaya dianggap sebagai spesis kecil bawah spesis panthera tigris tigris kerana keunikan genetiknya berbanding harimau tanah besar Asia yang lain, dan dikelaskan sebagai sangat terancam bawah Senarai Merah Kesatuan Pemuliharaan Alam Sekitar Antarabangsa.
Xavier dalam ucapannya berkata dapatan awal Tinjauan Harimau Kebangsaan 2016-2020 menunjukkan populasi harimau Malaya pada tahap yang sangat membimbangkan, iaitu kurang daripada 200 ekor.

“Pengurangan populasi Harimau Malaya disebabkan beberapa faktor seperti pengurangan kawasan habitat dan keliaran akibat aktiviti pembukaan hutan dan perubahan guna tanah.
“Selain itu, harimau Malaya juga menjadi sasaran utama aktiviti pemburuan dan perdagangan haram disebabkan permintaan yang tinggi di pasaran gelap,” katanya.
Xavier berkata kementeriannya juga telah mewujudkan Tabung Selamatkan Harimau Malaya untuk semua pihak, termasuk syarikat dan individu, menyumbang bagi mengerakkan kempen itu.
Beliau berkata setakat ini jumlah kutipan telah disumbang sebanyak RM1.34 juta.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan dan sumbangan dalam menjayakan kempen Selamatkan Harimau Malaya termasuk Yayasan Al-Bukhary, Berjaya Corporation, Ranhill Holdings, AEON, KLIATV, murid-murid Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Sungai Long, Selangor, pelajar-pelajar KDU University College dan lain-lain.
“Saya berharap lebih ramai lagi akan tampil untuk membantu menjayakan kempen ini,” katanya.
Xavier juga mengumumkan kerjasama operasi penguatkuasaan bersepadu antara Jabatan Perhilitan dan polis bagi membanteras dan memerangi penceroboh dan pemburu haram hidupan liar.
“Terima kasih polis atas usaha murni dan kesudian bersama-sama kami dalam memastikan khazanah negara yang amat ternilai ini akan terus terpelihara,” katanya.