Had umur Adun masih 21, negeri perlu pinda undang-undang tubuh, kata Liew

Had umur Adun masih 21, negeri perlu pinda undang-undang tubuh, kata Liew

Kerajaan negeri disaran meminda peruntukan berkaitan had umur calon dalam undang-undang negeri agar selaras dengan persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong.
PUTRAJAYA:
Kelayakan ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Malaysia masih kekal pada 21 tahun meskipun Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 diluluskan secara bipartisan di Parlimen, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong.

Ini kerana pindaan tersebut yang memberi hak kelayakan mengundi dan menjadi calon kepada warganegara berumur 18 tahun, selain pendaftaran pengundi secara automatik, hanya melibatkan kelayakan calon ahli Dewan Rakyat, katanya.

Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri disarankan meminda peruntukan berkaitan had umur calon dalam perlembagaan negeri atau Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri masing-masing agar selaras dengan undang-undang persekutuan dan usaha bipartisan untuk memperkasa golongan muda dalam proses demokrasi.

Pada 16 Julai lepas, 211 daripada 222 orang ahli Dewan Rakyat mengundi pindaan tersebut bersamaan dengan 95% sokongan daripada jumlah keseluruhan.

Pada 25 Julai pula, 47 daripada 67 orang ahli Dewan Negara hadir untuk mengundi bersamaan dengan 70.14%.

Untuk rekod, pindaan perlembagaan itu memerlukan sokongan dua pertiga di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

“Kerajaan ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada ahli-ahli Parlimen yang menyokong pindaan perlembagaan persekutuan tersebut,” kata Liew.

Liew bagaimanapun kesal apabila 20 orang ahli Dewan Negara gagal hadir dalam proses pindaan undang-undang itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.