Agensi pengangkutan tetapkan 30 syarat untuk LRT P Pinang

Agensi pengangkutan tetapkan 30 syarat untuk LRT P Pinang

Kerajaan negeri diminta mendapatkan maklum balas orang awam dan pihak berkepentingan berkenaan jajaran LRT Komtar-Bayan Lepas dan perkara pengambilan tanah.

Chow Kon Yeow.
GEORGE TOWN:
Kerajaan negeri hari ini mengumumkan 30 syarat yang ditetapkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) bagi projek pembinaan Transit Aliran Ringan (LRT) Komtar-Bayan Lepas.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata antara 30 syarat yang ditetapkan Apad itu ialah kerajaan negeri hendaklah mendapatkan maklum balas orang awam dan pihak berkepentingan bagi jajaran melalui bahagian hadapan Masjid Sungai Nibong Besar sepanjang tempoh pemeriksaan awam dijalankan.

“Kerajaan negeri juga hendaklah mengadakan rundingan dan mendapatkan maklum balas daripada Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) berkenaan lokasi ‘Stesen Penang Airport’ bagi memastikan jarak dan kemudahan sambungan bersesuaian untuk pergerakan penumpang antara stesen dan terminal lapangan terbang,” katanya.

Selain itu, segala maklumat daripada orang awam atau kerajaan dan agensi/badan bukan kerajaan yang terlibat dan terkesan daripada projek LRT itu berkaitan perkara pengambilan tanah, kemudahan awam dan lain-lain semasa pemeriksan awam wajib diambil kira dan diselesaikan dengan baik.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata surat rasmi bagi 30 syarat berkenaan diserahkan Apad kepada setiausaha kerajaan negeri pada 18 Julai lalu.

“Kita juga ingin mengumumkan pemeriksaan awam yang disyaratkan selama 3 bulan oleh Apad akan dijalankan bermula 19 Ogos ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Penang LRT Hunt 2019 hari ini.

Penang LRT Hunt 2019 itu bertujuan meningkatkan kesedaran awam mengenai projek LRT Bayan Lepas dan memperkenalkan lokasi-lokasi stesen LRT yang bakal dibina.

Chow berkata dengan adanya pemeriksaan awam itu, kerajaan negeri berharap orang ramai akan mengambil peluang untuk meneliti rancangan projek kereta api itu sepanjang tempoh pemeriksaan awam itu dijalankan.

“Tempat dan lokasi pemeriksaan awam akan dibincangkan dan apabila sampai waktunya kita akan adakan sidang akhbar bagi mengumumkan tempat-tempat supaya orang awam dapat memperolehi maklumat khususnya jajaran dan di mana terletaknya stesen-stesen.

“Selain itu orang awam juga boleh memberikan maklum balas, sokongan dan kritikan atau sebarang bantahan terhadap terhadap isu-isu yang dibangkitkan, dan kita akan memasukkan semua perkara yang diberikan orang awam dalam borang maklum balas,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri selaku penggerak projek bersama dengan pihak terlibat dalam pembinaan LRT tersebut akan meneliti maklum balas dan memberikan jawapan untuk pertimbangan Apad sebelum ianya mendapat kelulusan penuh daripada Apad dan Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook.

Pada 17 Julai lepas, Loke memaklumkan projek LRT Komtar-Bayan Lepas yang merupakan sebahagian daripada Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) mendapat kelulusan bersyarat daripada kementeriannya.

Menurutnya, permohonan Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri (BPEN) itu, diluluskan pada 16 Julai dan ia tertakluk kepada 30 syarat tertentu mengikut peruntukan bawah Seksyen 83 dan 84 Akta Pengangkutan Awam Darat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.