
Panglima Bahagian Tentera Darat Ke-4, Pornsak Poonsawat berkata, anggota berkenaan yang melibatkan 735 pasukan akan dikerah ke 118 kampung yang dikenal pasti masih mempunyai pengaruh kuat gerakan pembebasan Pattani.
“Kita mahu suspek berundur dari kampung tersebut.
“Risikan kami mendapati terdapat rumah yang diubah suai untuk menjadi tempat bersembunyi anggota kumpulan bersenjata selepas melakukan serangan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Selasa lepas, 4 maut dan 2 lagi cedera parah dalam satu serangan di sebuah pondok kawalan keselamatan di Daerah Muang, Pattani.
Dalam kejadian kira-kira 8 malam (waktu tempatan), sekurang-kurang 10 orang yang lengkap dengan senjata api melepaskan tembakan dan melontar bom paip ke arah pondok dan menyebabkan 2 anggota sukarelawan dan 2 lagi anggota keselamatan kampung meninggal dunia di tempat kejadian, manakala 2 lagi anggota sukarelawan cedera parah.
Pornsak tidak menolak kemungkinan terdapat suspek yang terlibat dalam serangan itu turut mengalami kecederaan.