Malaysia beritahu kenapa ia terima pulang bekas militan

Malaysia beritahu kenapa ia terima pulang bekas militan

Menolak bekas pejuang yang ingin pulang berisiko mendorong mereka kembali kepada ideologi militan yang dipegang sebelum ini.

Pengganas warga Malaysia, Muhammad Wanndy Mohd Jedi (kanan) yang terbunuh dalam serangan dron AS di Raqqa, Syria, pada 2017. Isteri beliau, Nor Mahmudah Ahmad terselamat.
PETALING JAYA:
Malaysia berkata ia tidak mempunyai pilihan selain menerima kembali rakyatnya yang pulang selepas berjuang bersama-sama kumpulan militan di luar negara.

Ketua Penolong Pengarah Counter Terrorisme Bukit Aman, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, menolak bekas pejuang yang ingin pulang berisiko mendorong mereka kembali kepada ideologi militan yang dipegang sebelum ini.

“Kami tidak mahu mereka terjerumus ke dalam naratif itu. Mereka rakyat Malaysia dan kita bertanggungjawab membantu,” katanya kepada akhbar Straits Times Singapura baru-baru ini.

Katanya, menerima mereka pulang ke Malaysia boleh menghalang masalah militan daripada menjadi lebih buruk.

“Lebih buruk lagi, jika mereka melancarkan serangan di negara asing kerana kecewa. Siapakah yang akan memikul tanggungjawab itu?”

Ayob berkata, pada Mei, 35 daripada 65 rakyat Malaysia yang ditahan di Syria kerana disyaki terlibat dalam kegiatan keganasan memberitahu polis bahawa mereka mahu pulang ke negara ini.

Beliau juga berkata, pihak berkuasa kini sedang berusaha membawa pulang Nor Mahmudah Ahmad, 30, balu pengganas warga Malaysia yang terbunuh, Muhammad Wanndy Mohd Jedi.

Wanndy maut dalam satu serangan dron AS di Raqqa, yang pada masa itu merupakan pusat pemerintahan Negara Islam pada 2017. Mahmudah terselamat dalam serangan tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.