
Perdana menteri berkata, umat Islam hari ini berada dalam keadaan kacau-bilau dan pada ketika ini tiada usaha kukuh dilaksanakan bagi menangani masalah itu.
“Saya percaya kita akan dapat bekerjasama untuk melihat masalah ini. Hari ini kita tidak boleh mendakwa kita adalah peradaban yang hebat sepeti sebelum ini…kita semua ditindas dan kita sangat mundur,” katanya pada sidang media bersama Presiden Turki, Recep Tayyib Erdogan, di Kompleks Presiden di sini, hari ini.
Beliau berkata, negara Islam harus melakukan sesuatu untuk menangani kelemahan dan kebergantungan pada pihak lain.
Mahathir kini dalam rangka lawatan kerja rasmi 4 hari ke Turki sejak Rabu.
Sehubungan itu, Mahathir berkata, terdapat keperluan untuk mengetahui sebab di sebalik keadaan dunia Islam sekarang untuk dapat menetapkan remedi yang betul untuk memulihkan tamadun Islam.
“Dengan bekerjasama, negara seperti Malaysia, Turki dan Pakistan sepatutnya dapat menyatukan minda dan aset kita bersama-sama untuk menangani masalah ini dan membantu menyedarkan semula tamadun Islam.”
Terdahulu, Erdogan menganugerahkan pingat “Order of the Republic’ kepada Mahathir sebagai pengiktirafan dan penghargaan atas usaha cemerlang beliau membangunkan Malaysia dan juga mengukuhkan hubungan 2 hala Malaysia-Turki.
Perdana menteri menekankan bahawa negara Islam harus berusaha untuk berdikari dan benar-benar mampu melakukan segalanya sendiri.
“Saya yakin kerjasama antara Malaysia dan Turki akan membantu kita bergerak ke arah itu untuk membebaskan umat Islam daripada ditundukkan oleh orang lain yang tidak mesra terhadap kita,” katanya.
Beliau juga berharap hubungan rapat antara kedua-dua negara bukan sahaja akan memberi manfaat kepada negara, tetapi juga kepada masyarakat Islam pada umumnya.
Menyentuh situasi di Palestin, Mahathir berkata, Malaysia dan Turki berkongsi pandangan yang sama dan penting untuk menunjukkan kepada dunia bahawa kedua-dua negara berkenaan prihatin dengan nasib rakyat Palestin.
Mengenai keganasan, perdana menteri berkata, sehingga sebab-sebab di sebalik keadaan itu dan ditangani, bentuk tindakan pengganas tidak akan berakhir seperti yang disaksikan oleh dunia hari ini.
Mahathir memulakan memulakan program rasmi ke Turki, Khamis dengan upacara meletakkan kalungan bunga di makam Mustafa Kamal Ataturk, pengasas dan presiden pertama Turki moden di Anitkabir di sini.
Beliau seterusnya melawat Turkish Aerospace Industries (TAI), yang merupakan pusat teknologi Turki dalam aspek rekabentuk, pembangunan, pemodenan, pembuatan, integrasi dan sokongan kitaran hayat sistem aeroangkasa bersepadu yang merangkumi platform udara sayap tetap dan sayap berputar; serta UAV dan satelit.
Beliau kemudiannya dianugerahkan Doktor Kehormat Sains Politik dan Pentadbiran Awam oleh Ankara Yildirim Beyazit University, dalam majlis yang berlangsung di Majlis Pendidikan Tinggi Turki.
Perdana Menteri kemudiannya diberikan sambutan rasmi di Kompleks Presiden dan diikuti dengan pertemuan 4 mata dengan Erdogan serta mesyuarat delegasi Malaysia-Turki, sebelum satu kenyataan bersama dikeluarkan.
Pada sebelah malamnya, presiden Turki menjadi hos kepada majlis makan malam rasmi sempena kehadiran perdana menteri Malaysia.
Selain isteri, Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Mahathir turut diiringi oleh Menteri Menteri Luar, Saifuddin Abdullah, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ignatius Darell Leiking.