
Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi mendakwa Anwar lantang membela DAP kerana beliau terlalu terhutang budi kepada parti itu.
“Semua yang dilaksanakan DAP dianggap benar belaka kerana parti itu telah menjadi tulang belakang sebagai rakan kongsi politik yang harus digendong olehnya untuk mencapai cita-cita politik beliau (Anwar).”
Beliau mengulas laporan The Star hari ini yang memetik Anwar menyifatkan gesaan Umno menolak sesiapa saja yang bekerjasama dengan DAP sebagai kenyatan rasis.
Beliau menggesa Zahid memberitahu dengan jelas apa yang tidak dipersetujui Umno berhubung DAP.
Katanya, parti politik perlu mampu menjalin kerjassama dengan sesiapa saja yang berkongsi prinsip dan idea sama.
Zahid berkata, Umno dan Barisan Nasional tidak pernah mengamalkan politik perkauman dan ia akan meneruskan agenda mereka ketika mentadbir negara dahulu untuk menjaga kepentingan semua bangsa dan agama.
“Kerjasama Umno dan PAS turut melibatkan pelaksanaan dasar menjaga semua golongan bersama parti-parti lain dari pelbagai kaum dan agama.
“Hanya kacang yang lupakan kulit saja menganggap Umnno sebagai parti rasis.”
Katanya, Anwar sepatutnya menyelesaikan isu dalaman PKR sebelum mengkritik Umno.
“Selesaikan dahulu masalah ‘retak menanti belah’ dalam PKR sebelum bercakap mengenai Umno.
“Dalam Pakatan Harapan sendiri, kemelut antara parti sudah menjadi rahsia umum ‘sudah terang lagi bersuluh.”
Anwar ialah bekas timbalan presiden Umno sehingga beliau dipecat daripada parti dan jawatan timbalan perdana menteri pada 1998.
PKR kini berdepan pergolakan antara beliau dan Timbalan Presidennya, Azmin Ali.
Baru-baru ini, 2 pemimpin PKR itu dan penyokong mereka saling berbalas kenyataan mengenai kontroversi video seks sejenis yang menyasarkan Azmin.
Anwar sebelum ini dilaporkan menggesa Azmin melepaskan jawatan sebagai menteri hal ehwal ekonomi, jika terbukti beliau terbabit dalam klip video yang tersebar sejak bulan lalu.
Ahad lalu, Anwar berusaha meyakinkan penyokongnya, beliau dan Azmin masih “satu pasukan”, manakala Azmin pula berkata, beliau dan Anwar bekerjasama untuk “banyak dekad”.