
Pegawai keselamatan mengganggu prosiding dengan meminta orang awam, peguam dan kakitangan mahkamah supaya keluar dan berhimpun di kawasan lapang di hadapan mahkamah.
Kejadian berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari apabila timbalan pendaftar Mahkamah Tinggi Mahyuddin Mohmad Som memberitahu orang ramai supaya meninggalkan bangunan berikutan ancaman bom.
Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menangguhkan prosiding sehingga satu tarikh yang akan ditentukan kemudian.
Bekas perdana menteri digiring keluar komplek mahkamah berkenaan.
Difahamkan bahawa balai polis Taman Tun Dr Ismail menerima panggilan telefon daripada individu tidak dikenali mendakwa terdapat bom dalam bangunan mahkamah.
Skuad bom polis dengan beberapa ekor anjing pengesan tiba selepas itu dan memeriksa premis berkenaan.
Najib berdepan 6 pertuduhan pengubahan wang dan pecah amanah jenayah berhubung pindahan wang RM42 juta ke bank akaunnya daripada SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.
Beliau juga dituduh menyalahgunakan kuasa sebagai perdana menteri dan menteri kewangan dengan mengeluarkan jaminan kerajaan kepada SRC International ke atas pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP).