Ahli Parlimen Dungun rugi RM26,000 disamun 2 lelaki

Ahli Parlimen Dungun rugi RM26,000 disamun 2 lelaki

Ketika kejadian, Wan Hassan Mohd Ramli baru mengeluarkan wang daripada ATM sebuah bank untuk membayar tempahan lembu bagi ibadah korban sempena sambutan Aidiladha pada bulan depan.

Wan Hassan Mohd Ramli (tengah) menunjukkan kecederaan dialaminya ketika cuba merampas kembali begnya daripada penyamun. (Gambar Facebook)
DUNGUN:
Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli kerugian RM26,000 selepas disamun 2 lelaki bermotosikal selepas mengeluarkan wang dari sebuah bank di Jalan Pak Sabah di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Dungun, Baharudin Abdullah berkata, dalam kejadian kira-kira 2 petang itu, mangsa baru mengeluarkan wang daripada mesin juruwang automatik (ATM) di sebuah bank untuk membayar tempahan lembu bagi ibadah korban sempena sambutan Aidiladha pada bulan depan.

Bagaimanapun, ketika memasuki kereta, seorang lelaki bertopi keledar dengan visor penuh tiba-tiba meluru ke dalam kereta Hassan dari arah tempat duduk penumpang depan lalu meragut beg mangsa.

“Mangsa berusia 62 tahun itu cuba merampas kembali beg tersebut daripada suspek menyebabkan berlaku sedikit pergelutan. Akibatnya, mangsa cedera ringan di betis kiri dan mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Dungun,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, polis giat mengesan suspek yang dipercayai menunggang motosikal Yamaha berwarna gelap dan saksi atau orang awam yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis terdekat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.