
Johari Aleuj, Pam Yeek dan Shukri Man disambut lebih 30 Orang Asli, termasuk ahli keluarga mereka yang berkumpul sejak 9 pagi tadi di Ibu Pejabat Polis Daerah Gerik.
“Mereka dibebaskan kira-kira jam 2 petang,” kata wakil Orang Asli Temiar, Fauzi Bani kepada FMT.
Beliau berkata, 3 Orang Asli itu mendapat layanan baik sepanjang 48 jam dalam tahanan polis.
“Makan minum juga cukup, terima kasih kepada polis.”
Peguam dilantik Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka), S Thiyagu berkata, belum ada keputusan sama ada 3 individu itu akan didakwa di mahkamah selepas ini.

“Saya harap pihak berkuasa menggunakan budi bicara dengan mengambil kira semua keadaan, termasuk hak-hak orang awam dan Orang Asli dalam membuat keputusan,” katanya sambil menambah pihak sedia membantu Orang Asli itu jika mereka didakwa di mahkamah.
Thiyagu turut merayu Jabatan Perhutanan Perak mempertimbangkan permohonan untuk mengembalikan 4 motosikal yang dirampas pada Ahad lalu.
“Kenderaan itu merupakan satu-satu pengangkutan mereka untuk bekerja dan mencari keperluan harian.”
Selain penahanan 3 Orang Asli Temiar pada Ahad lalu, pihak berkuasa turut merampas 4 motosikal dan sebuah kamera.
Kelmarin, Thiyagu dilaporkan berkata, seorang daripada 3 Orang Asli itu disiasat di bawah Seksyen 341 Kanun Keseksaan, manakala baki 2 lagi disiasat mengikut Peraturan 25(1)(n) Peraturan Pendaftaran Negara 1990 kerana tidak membawa kad pengenalan.
Orang Asli Temiar mendakwa pembalak melanggar hak tanah adat mereka, tetapi kerajaan negeri bertegas ia berhak mengeluarkan permit pembalakan di Gerik.