Meskipun hanya satu babak penting, namun Maya Karin tetap teruja apabila diberi peluang untuk menimba pengalaman membintangi filem Hollywood berjudul Alone.

Filem yang bakal membariskan pelakon ternama, Donald Sutherland dan Tyler Posey akan diketuai Johnny Martin selaku pengarah dan penerbit bersama.
Maya memberitahu, bekerja dengan pasukan profesional dianggap landasan awal untuknya melebarkan langkah di pentas antarabangsa.
“Apabila eksekutif Hollywood Innovation Group (HIG) menyuarakan hasrat meminta saya menyertai pasukan produksi mereka di sini, saya rasa bertuah kerana dipilih tanpa perlu menjalani uji bakat.
“Walaupun sebabak, berada dalam suasana baharu, dikelilingi kru profesional dan dapat bertukar idea dengan ramai karyawan di sini termasuk pengarah Alone, menyemarakkan semangat.

“Sebelum ini, saya tak terfikir boleh sampai (berlakon) di Hollywood. Malah, tidak pernah terdetik mencuba nasib atau menghadiri uji bakat. Mungkin sekarang tepat pada waktunya,” katanya.
Dalam filem Alone, Maya dipertanggungjawab membawa watak saintis Malaysia bernama Dr Zulaikha.
Tambah penerima trofi Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik itu, kesungguhan HIG mengundangnya disifatkan langkah permulaan bagi memperkenalkan Malaysia sebagai hab pelancongan melalui tarikan destinasi bertaraf antarabangsa dan filem.
“Saya difahamkan, tahun depan HIG bakal menjalin usaha sama dengan produksi ini untuk filem aksi berlatarkan seni mempertahankan diri yang bakal ditayangkan di Amerika Syarikat (AS).
“Boleh dikatakan, saya umpama duta kecil. Ini kerana ada dalam kalangan penerbit yang ditemui bertanya mengenai negara kita. Semuanya kerana sebelum ini, beberapa filem antarabangsa pernah menggunakan Malaysia sebagai lokasi latar,” katanya.
Sumber OhMedia.my
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]