
Beliau berkata, syarikat itu akan melakukan analisis tersebut berdasarkan permintaan pihak berkuasa negara berkenaan.
“Oleh sebab saya bukan pemilik video berkenaan, saya tidak boleh mendedahkan nama syarikat tersebut,” Lokman memberitahu pemberita di klia2 sebelum menaiki pesawat ke Jakarta.
“Kita harap keputusan analisis akan diperolehi dalam 2 hari,” katanya dengan menambah syarikat terbabit akan mengeluarkan sijil bagi menentukan ketulenan video berkenaan.
Bekas ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Aziz mendakwa beliau merupakan seorang daripada 2 lelaki dalam video tersebut, yang dirakam di sebuah hotel di Sandakan Mei lepas.
Beliau juga menamakan Azmin sebagai lelaki seorang lagi. Azmin menafikan dakwaan itu.
Lokman berkata, sebaik sahaja menerima laporan analisis klip video itu, beliau akan menyerahkan salinannya kepada ketua pembangkang Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Polis Negara (KPN) Abdul Hamid Bador.
“Saya kecewa dengan kenyataan KPN 2 hari lepas yang berkata, mereka memberi tumpuan kepada pihak yang merakamkan dan menyebarkan video itu, bukan siapa yang didakwa terlibat,” katanya.
“Bekas KPN kita, Musa Hassan berkata, pengakuan Haziq adalah mencukupi untuk didakwa di bawah Seksyen 377B Kanun Kesiksaan kerana melakukan hubungan seks di luar tabii.”
Beliau juga bertanya kenapa polis tidak menghantar klip video itu untuk dianalisis oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.