
Ia susulan dakwaan Yunus yang tuduhan itu dilemparkan terhadapnya untuk membunuh karier politiknya atas sokongannya kepada Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dalam pemilihan parti tahun lalu.
Farhash berkata, Yunus seharusnya menghormati proses perundangan dan membiarkan pihak berkuasa menyiasat dakwaan ke atasnya.
“Jangan campur adukkan urusan parti dan tanggungjawab sebagai anggota kerajaan.
“Walaupun wujud perbezaan pendapat dari sudut politik, tapi ini tidak boleh dijadikan pembelaan apabila dilemparkan tuduhan jenayah seperti rasuah,” kata Farhash kepada FMT hari ini.
Semalam, bekas pembantu khas Yunus, Beh Yong Kean membuat laporan polis mendakwa Adun Kuala Kurau itu meminta komisen daripada 2 syarikat terbabit dalam permohonan tanah kerajaan lebih 36 hektar.
Beh yang juga ahli Jawatankuasa PKR Parit Buntar mendakwa Yunus membocorkan minit mesyuarat kerajaan negeri kepadanya supaya beliau dapat memulakan proses rundingan dengan 2 syarikat itu.
Yunus bagaimanapun menafikan dakwaan itu sebagai konspirasi untuk menjatuhkannya sebagai exco Perak menjelang istiadat pelantikan dan angkat sumpah exco tidak lama lagi.
Beliau turut mendakwa Beh ialah pemilik kilang haram di Tanjung Piandang dan berdendam dengannya kerana tidak menyokong kelulusan tanah dimohonnya sejak tahun lalu.
Hari ini, selepas membuat laporan polis, Yunus bertegas akan membuat laporan kepada lembaga disiplin PKR berkaitan pembabitan beberapa ahli parti lain untuk memfitnahnya.
Katanya, beliau juga akan membuat laporan kepada Kementerian Pendidikan mengenai pembabitan seorang guru yang dikatakan bersubahat melakukan fitnah itu untuk menjatuhkannya dan menggugat kestabilan kerajaan.
Sementara itu, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan selepas menerima laporan daripada Yunus yang mengaitkan pembabitan beberapa ahli parti lain untuk memfitnahnya.
“Memandangkan Yunus kata dia akan hantar laporan kepada lembaga disiplin parti, jawatankuasa ini akan menunggu laporannya itu.
“Kita akan jalankan siasatan mengikut proses ditetapkan dan meneliti laporannya.”
Mengenai tindakan Beh membuat laporan polis terhadap Yunus, katanya, PKR tidak akan campur tangan dalam siasatan polis.
“Memandangkan Beh sudah membuat laporan polis, biarlah polis jalankan siasatan berkaitan tuduhannya itu.”