
“Alhamdulillah, dalam perbincangan sebentar tadi, beberapa perkara dapat dicapai dan saya akan membawa perkara ini kepada pimpinan utama kerajaan,” tulisnya di Facebook hari ini.
Lawatan itu menyusul pertemuan Anwar dengan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya semalam membincangkan isu sama yang akan menjejaskan kelestarian alam sekitar dan kehidupan nelayan.
Baru-baru ini, gabungan 52 kumpulan berkepentingan Melayu menghantar satu memorandum kepada perdana menteri untuk menggesa pembatalan projek tambak laut bagi 3 pulau.
Kumpulan di bawah naungan Persatuan Melayu Pulau Pinang itu menulis nota bantahan kepada Mahathir pada 30 Jun lalu dengan 20 alasan projek itu perlu dibatalkan.
Pada 5 Julai lalu, kerajaan Pulau Pinang mengumumkan Jabatan Alam Sekitar meluluskan Projek Tebus Guna Tanah Selatan Pulau Pinang (PSR) bersama 72 syarat.
PSR berkeluasan hampir 17km persegi dengan 3 pulau masing-masing seluas 9.3, 4.45 dan 3.23km persegi akan ditebus guna di perairan Permatang Damar Laut, berdekatan Bayan Lepas.
Tanah ditebus guna itu akan menjadi milik kerajaan negeri, tetapi ia akan dilelongkan kepada pembina tertinggi untuk membiayai Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang bernilai RM46 bilion.
PTMP dijangka meliputi beberapa lebuh raya, sistem Transit Aliran Ringan (LRT) dan pengangkutan lain yang akan dibina dalam tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang.