Kos PRU akan datang mungkin naik kepada RM1 bilion, kata Syed Saddiq

Kos PRU akan datang mungkin naik kepada RM1 bilion, kata Syed Saddiq

Ini berdasarkan jangkaan penambahan pengundi sebanyak 500,000 orang setiap tahun selepas pindaan diwartakan.

Menteri Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersama Timbalan Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Saari; Naib Ketua Pemuda Umno, Shahril Hamdan; dan Pensyarah Muhamad Nadzri Mohamed Noor di wacana “Pengundi 18 tahun: Siapa lagi untung?”.
SHAH ALAM:
Kos perbelanjaan untuk melaksanakan pilihan raya umum (PRU) akan datang dianggarkan akan meningkat daripada setengah bilion kepada RM1 bilion, kata Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Beliau berkata anggaran itu berdasarkan penambahan pengundi setiap tahun selepas pindaan yang menurunkan had umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun diwartakan.

“Saya dimaklumkan pilihan raya sebelum ini ada 14 juta pengundi sudah menelan kos sebanyak setengah bilion.

“Jadi angka tidak rasmi selepas ini boleh meningkat kepada 1 bilion,” katanya pada sidang media selepas wacana “Mengundi 18 tahun: Siapa yang untung?” anjuran Sinar di Karangkraf hari ini.

RUU Perlembagaan (Pindaan) dibentangkan semula pada persidangan Dewan Rakyat pagi tadi, sehari selepas ditarik balik bagi memuatkan 2 cadangan pembangkang, iaitu pendaftaran pengundi secara automatik pada usia 18 tahun, dan menurunkan had usia calon pilihan raya kepada 18 tahun.

Di wacana hari ini, Syed Saddiq menganggarkan jumlah pengundi akan bertambah 500,000 orang setiap tahun selepas pindaan diwartakan, menjadikan jumlah keseluruhan pengundi pada PRU akan datang boleh mencecah 20 juta ke 21 juta orang.

“Perkara ini akan membuka mata semua pimpinan politik,” katanya.

Turut diundang ke wacana hari ini adalah Timbalan Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Saari; Naib Ketua Pemuda Umno, Shahril Hamdan; dan pensyarah sains politik, Muhamad Nadzri Mohamed Noor dari Universiti Kebangsaan Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.