
Hakim Dazuki Ali yang membuat keputusan itu selepas menerima pegakuan salah tertuduh Mohd Rozaini Roslan, 30, turut memerintahkan supaya hukuman penjara bermula daripada tarikh tangkap iaitu pada 24 Jun lepas.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di 9 premis perniagaan sekitar Kuantan, melibatkan kerugian wang tunai RM10,464 dan seutas rantai emas antara 21 Mei hingga 18 Jun lalu dengan bersenjatakan pisau, parang, besi panjang serta rantai besi.
Antara premis perniagaan terlibat ialah klinik, kedai haiwan, farmasi, kedai kasut, kedai runcit dan pusat jualan pakaian yang mana semasa kejadian, semua premis itu dijaga oleh pekerja wanita.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Tertuduh yang berbadan kecil itu pada rayuannya, mendakwa terpaksa melakukan kesalahan itu kerana tertekan untuk menjelaskan bayaran pinjaman wang Ah Long, yang dikatakan mengugut untuk datang ke rumah.
“Saya bimbang dengan keselamatan keluarga kerana saya ada seorang anak berusia 8 tahun dan isteri pula sarat mengandung 7 bulan. Saya bimbang Ah Long membuat kacau kerana mereka mahu menyimbah cat jika saya gagal (bayar pinjaman).
“Semua hasil samun diberikan kepada Ah Long… saya langsung tidak menggunakannya untuk belanja anak isteri. Saya sedar saya tak dapat melihat anak kedua dilahirkan, tapi saya merayu diberikan hukuman ringan supaya berpeluang menjaganya,” katanya.
Dia mendakwa hanya memperoleh pendapatan bulanan sebanyak RM1,200 manakala isterinya tidak bekerja dan mereka menumpang di rumah emak mertua di Felda Neram 1 di Kemaman, Terengganu.
Timbalan Pendakwa Raya Wahidah Zainal Abidin bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana tertuduh bersenjata dan melibatkan ramai mangsa, selain boleh menjadi pengajaran kepada masyarakat.
Pada penghakimannya, Dazuki berkata hukuman mengambil kira faktor tertuduh bersenjata yang boleh mencederakan mangsa selain dilakukan secara terancang berdasarkan tindakan dia menunggu waktu sesuai untuk masuk ke premis terlibat.
“Walaupun kamu mengatakan terdesak dengan Ah Long, ini bukan cara untuk menyelesaikannya. Sebaliknya ia menimbulkan masalah yang lebih besar. Ada cara yang betul di sisi undang-undang untuk menyelesaikannya,” katanya.