Najib tandatangan memo letak SRC di bawah kerajaan di lapangan terbang, kata saksi

Najib tandatangan memo letak SRC di bawah kerajaan di lapangan terbang, kata saksi

Bekas timbalan ketua setiausaha Perbendaharaan, Mat Noor Nawi terkejut Najib Razak menandatangani draf memo yang disediakannya.

Saksi ke-43 perbicaraan kes Najib Razak, Mat Noor Nawi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
KUALA LUMPUR:
Seorang bekas pegawai Perbendaharaan memberitahu perbicaraan Najib Razak dalam kes SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Tinggi hari ini, bekas perdana menteri itu menandatangani draf memo disediakannya untuk meletakkan syarikat itu di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).

Bekas timbalan ketua setiausaha Perbendaharaan, Mat Noor Nawi berkata Najib berbuat demikian di bilik menunggu Pangkalan Tentera Udara Subang pada 3 Februari 2012.

“Saya terkejut beliau tandatangan draf memo yang disediakan saya mencadangkan SRC diletakkan di bawah MKD,” katanya ketika pemeriksaan timbalan pendakwa raya, Suhaimi Ibrahim.

Saksi ke-43 perbicaraan itu berkata, memo itu tiada kepala surat Kementerian Kewangan atau tandatangannya.

“Ini menunjukkan keputusan meletakkan SRC di bawah MKD ialah eksesais menyeluruh,” katanya sambil menambah biasanya ada proses yang perlu diikuti sebelum sebuah syarikat diletakkan di bawah kerajaan.

Sepucuk surat bertarikh 9 Januari 2012 daripada Pengarah SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil kepada Najib turut dikemukakan di mahkamah hari ini yang antara lain mencadangkan syarikat itu diletakkan di bawah MKD.

Najib menulis satu nota dalam surat itu menyatakan persetujuannya dengan cadangan Nik Faisal.

Mat Noor berkata, surat itu kemudiannya dihantar kepada Nor Mohamed Yakcop yang juga menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu.

Katanya, Mohamed kemudiannya menghubungi beliau untuk memberitahu syarikat itu akan diletakkan di bawah MKD.

“Saya juga bersetuju dengan cadangan itu kerana perdana menteri dan Mohamed bersetuju dengan cadangan itu,” katanya sambil menambah beliau kemudiannya mendraf memo itu.

Beliau berkata, pembantu Nik Faisal, Zahid Taib, menghubunginya pada 2 Februari 2012 untuk memaklumkan Najib mahu melihat draf itu di lapangan terbang keesokannya.

Katanya, beliau dan Zahid menunggu Najib di bilik menunggu lapangan terbang pada 8 pagi.

Najib dikatakan akan mengadakan lawatan luar negara ketika itu.

“Beliau baca setiap muka surat draf memo itu dan apa yang mengejutkan saya ialah beliau tandatangan dokumen itu,” kata Mat Noor.

Beliau kemudian ke Kementerian Kewangan untuk menemui setiausaha Najib, Sheikh Mohd Fuzi dan mendapatkan cop rasmi perdana menteri.

SRC International yang pada mulanya terletak di bawah 1MDB, dipindahkan ke bawah MKD pada 14 Februari 2012.

Najib berdepan 6 pertuduhan pengubahan wang dan pecah amanah membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Ahli Parlimen Pekan itu turut didakwa menyalahgunakan kuasanya sebagai perdana menteri untuk memberi jaminan kerajaan bagi pinjaman SRC International sebanyak RM4 bilion dari Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank cawangan Jalan Raja Chulan dan Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya antara 17 Ogos 2011 dan 10 Februari 2015.

Perbicaraan diteruskan di depan Hakim, Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.