
Presiden PKR itu berkata, keputusan akhir berhubung rayuan bekas ketua Pemuda PKR Santubong itu akan dibuat oleh lembaga berkenaan, bukannya terletak pada diri beliau.
“Prosesnya biar dia (Haziq) rayu dulu. Ahli yang dipecat boleh merayu dan (keputusan) itu terletak pada lembaga disiplin, bukan saya,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Pada 3 Julai lepas, PKR mengumumkan pemecatan serta-merta keahlian Haziq berkait dakwaan beliau bahawa Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali merupakan pasangannya dalam satu klip video hubungan seks sejenis yang tular sebelum itu.
Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Ahmad Kasim berkata, Haziq dipecat kerana membuat tuduhan rasuah secara terbuka tanpa bukti terhadap pemimpin parti, justeru melanggar kod etika yang ditetapkan.
Pemecatan itu dibuat selepas tamat tempoh 14 hari Haziq diberikan surat tunjuk sebab yang memintanya menjelaskan dakwaan tersebut.
Dalam responsnya terhadap pemecatan tersebut, Haziq, yang menafikan kesalahan itu berkata, beliau tidak menuduh Azmin rasuah, sebaliknya menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat tuduhan rasuah yang dilemparkan terhadap menteri hal ehwal ekonomi itu.
“Saya hanya menggesa supaya disiasat tuduhan tersebut kerana rakyat berhak mengetahui perkara yang benar,” katanya di Facebook.