
Ketua penyelaras PPBM Sarawak, Redzuan Yusof berkata, PPBM tidak melihat kemasukan parti berkenaan sebagai bertujuan memecah belah rakyat dalam landskap politik Sarawak.
“Tujuan kita (PPBM) satu sahaja, iaitu untuk membuat perubahan yang kita telah lihat hari ini di peringkat persekutuan dan perjuangan kita adalah semata mata untuk kepentingan rakyat Sarawak. Kita tidak kacau pun parti-parti lain.
“Kalau sesiapa yang menyatakan kita datang ke Sarawak untuk memecah belahkan rakyatnya, kita nak minta bukti..Sarawak adalah negeri yang diberi rezeki yang lebih, tetapi kita tidak nampak kekayaan ini dikongsikan dengan rakyat jelata,” kata Redzuan yang juga menteri pembangunan usahawan pada sidang media di sini, semalam.
Pendaftaran PPBM Sarawak diluluskan Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 9 Mei setelah dilancarkan oleh Perdana Menteri, yang juga Pengerusi PPBM, Dr Mahathir Mohamad di Bintulu pada 1 Dis tahun lepas.
Terdahulu, Redzuan mengadakan perjumpaan dengan ketua bahagian PPBM Sarawak bagi memperkasakan pergerakan parti itu dalam menghadapi pilihan raya negeri (PRN) ke-12 yang bakal diadakan seawal hujung tahun depan.
Beliau berkata, setakat ini pendaftaran 12 daripada 31 bahagian PPBM Sarawak telah diberi kelulusan ROS, termasuk Kuching, Santubong, Stampin, Kota Samarahan, Bintulu, Sri Aman, Ulu Rajang, Julau, Sibuti dan Mukah.
Katanya barisan kepimpinan negeri yang dicalonkan sebagai ketua bahagian akan diwatikahkan dalam masa terdekat selepas satu keputusan dibuat pada mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi pusat pada 20 Julai ini.
Redzuan, yang merupakan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM, turut berkata, kenyataan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng baru-baru ini bahawa PPBM harus konsisten dengan keputusannya berhubung pengambilan ahli daripada Umno hanyalah untuk menyuarakan pandangan beliau.
“DAP tidak campur tangan. Kita (PPBM) ada pendirian sendiri dan mempunyai moratorium tertentu untuk memastikan perkara itu, tetapi kelulusan menjadi ahli adalah terpulang kepada Majlis Pimpinan Tertinggi,” katanya.