
Pada saat ratusan ribu penduduk dewasa di wilayah Xinjiang ditahan di kem tahanan, kerajaan negara itu dikatakan melaksanakan projek segera besar-besaran untuk membina sekolah berasrama.
BBC News berkata, berdasarkan maklumat awam yang disokong oleh puluhan temu bual dengan anggota keluarga yang berada di luar negara, ia berjaya mengumpulkan bukti komprehensif tentang keadaan yang menimpa kanak-kanak di wilayah itu.
“Rekod menunjukkan di satu kawasan perbandaran sahaja, lebih 400 kanak-kanak kehilangan bukan sahaja seorang tetapi kedua-dua ibu bapa mereka kerana ditahan, sama ada di kem tahanan atau penjara.
“Penilaian rasmi dijalankan bagi menentukan sama ada kanak-kanak berkenaan memerlukan ‘penjagaan berpusat’.
“Selain usaha mengubah identiti penduduk dewasa di Xinjiang, bukti menunjukkan wujudnya kempen selari untuk memisahkan kanak-kanak ini daripada akar budaya mereka secara sistematik,” kata laporan itu lagi.
BBC News berkata, pemantauan keselamatan China yang ketat di Xinjiang yang menyaksikan wartawan asing dijejaki 24 jam sehari menyukarkan usaha untuk mendapatkan testimoni penduduk di sana.
Bagaimanapun katanya, temu bual dengan komuniti Uighur di Turki membolehkan ramai dalam kalangan mereka menceritakan pengalaman masing-masing dengan sesetengahnya membawa bersama gambar anak-anak mereka yang kini “hilang” di Xinjiang.
“Saya tidak tahu siapakah yang menjaga mereka,” kata seorang ibu yang ditemui di Istanbul, sambil menunjukkan gambar 3 anak perempuannya. “Tidak ada sebarang perhubungan.”
Seorang ibu lain yang ditemui BBC News berkata, beliau tidak tahu keberadaan 3 anak lelaki dan seorang perempuannya. “Saya dengar mereka ditempatkan di pusat anak yatim.”
“Dalam 60 temu bual berasingan, ibu bapa yang bimbang memperincikan kehilangan lebih 100 kanak-kanak di Xinjiang,” menurut laporan itu lagi.
“Kesemua mereka dari etnik Uighur, yang merupakan kumpulan etnik terbesar di Xinjiang yang mempunyai hubungan keagamaan dan bahasa dengan Turki.
“Ramai dalam kalangan mereka mengunjungi Turki untuk belajar atau atas urusan perniagaan, menziarahi saudara mara atau melarikan diri daripada kawalan had kelahiran di China dan penindasan agama yang semakin berleluasa,” lapor BBC News.
Menurut laporan itu lagi, ramai daripada mereka yang berkunjung ke Turki sebelum ini kini terperangkap di negara itu selepas China mula menahan ratusan etnik Uighur di kem tahanan.
Pihak berkuasa China mendakwa mereka dididik di “pusat latihan vokasional” bagi mencegah ekstremisme agama walaupun bukti menunjukkan ramai ditahan hanya kerana mengamalkan agama mereka, seperti menunaikan salat atau memakai tudung, atau mempunyai hubungan dengan luar negeri, seperti Turki.
Memetik penyelidik Jerman Dr Andrian Zenz, yang bertanggungjawab mendedahkan penahanan besar-besaran penduduk dewasa di Xinjiang, BBC News berkata, kampus pendidikan diperbesarkan, asrama baru dibina dan kapasitinya ditambah dalam usaha kerajaan China meningkatkan kemampuannya bagi menyediakan penjagaan sepenuh masa ke atas ramai kanak-kanak.
“Ia dilakukan tepat pada masa pihak berkuasa membina kem tahanan. Ia menyasarkan kumpulan etnik yang sama.”
“Pada 2017, jumlah kanak-kanak yang menghadiri pusat asuhan di Xinjiang meningkat lebih 1/2 juta orang dan angka kerajaan menunjukkan etnik Uighur dan kelompok minoriti Islam lain mewakili 90% daripada pertambahan itu,” lapornya.
Menurut kajian Zenz, jumlah kehadiran pra sekolah di Xinjiang meningkat daripada di bawah angka purata kebangsaan kepada yang tertinggi di China.
Di selatan Xinjiang sahaja, yang merupakan kawasan tumpuan penduduk Uighur, kerajaan telah membelanjakan AS$1.2 bilion untuk membina dan menaik taraf pusat asuhan kanak-kanak.
Analisis Zenz menunjukkan ledakan projek pembinaan itu meliputi pembinaan lebih banyak ruang asrama, kata BBC News.